QS: Fakulti Undang-Undang UKM Terbaik Di Malaysia

ISNIN, 14 APRIL 2014 14:06

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 14 Apr 2014 – Fakulti Undang-Undang (FUU) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) adalah yang terbaik di Malaysia dan menduduki tempat ke 17 di Asia.

Naib Canselor UKM Profesor Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata perkara itu disahkan oleh penganalisis kedudukan QS University Ranking Dunia tahun 2014 yang disusun oleh Quacquarelli Symonds dan menilaikan fakulti itu di tangga 122 di dunia.

Berucap di majlis Penyerahan Koleksi Buku Undang-Undang  Sumbangan Tengku Tan Sri Dato’ Seri Ahmad Rithauddeen baru-baru ini, Prof Noor Azlan menyifatkan kejayaan demikian sejajar dengan usaha fakulti mengembangkan sumber rujukan untuk pelajar-pelajar.

Beliau berkata kemantapan dan kekuatan sesebuah fakulti juga bergantung kepada sistem sokongan yang padu, kemudahan infrastruktur dan sumber rujukan yang dapat menyediakan bahan bacaan rujukan yang terkini kepada para pelajar dan pengkaji undang-undang.

Katanya Tengku Ahmad Rithauddeen, yang baru melepaskan jawatan sebagai Pro canselor UKM telah berbincang dengan Dekan Fakulti Undang-Undang Prof Dato’ Dr Aishah Bidin mengenai hasratnya untuk menyerahkan koleksi peribadinya itu seawal tahun 2012 lagi.

Koleksi peribadi bahan perundangan yang disimpannya sejak tahun 1950an akan lebih bermanfaat jika diserahkan kepada FUU untuk dijadikan rujukan para pelajar dan pengkaji Undang-undang.

Sumbangan yang telah disampaikan oleh Tengku Ahmad Rithauddeen itu berjumlah 428 judul yang terdiri dari 714 bahan-bahan kes yang telah dibawanya dari Kelantan.

Bahan-bahan itu telah pun dikatalogkan dengan rapi dan ditempatkan di Koleksi Khas yang diberi nama Koleksi Tengku Tan Sri Dato’ Seri Ahmad Rithauddeen.

Perpustakaan Undang-Undang ditubuhkan pada bulan Mac 1985 sebagai sebuah cawangan di Perpustakaan Tun Seri Lanang dan berpindah ke Fakulti Undang-Undang pada Jun 1996.

Perpustakaan tersebut mempunyai Koleksi Undang-Undang ASEAN dan koleksi peribadi Prof M B Hooker, seorang pengkaji undang-undang adat Melayu.

Sehingga kini koleksi buku di Perpustakaan Undang-Undang UKM berjumlah kira-kira 100,000 naskhah terdiri dari naskhah buku, naskhah bahan terbitan bersiri, e-buku, e-jurnal dan bahan media.

Perpustakaan itu juga telah menjalin hubungan dengan perpustakaan undang-undang lain dengan menganggotai Malaysian Law Librarians Group.

Melalui kumpulan ini, Perpustakaan Undang-Undang UKM sedang menyediakan Legal Core bagi memastikan perpustakaan ini memiliki bahan yang mencukupi untuk sesebuah Fakulti Undang-Undang.

Turut hadir di majlis penyerahan itu Pengerusi Lembaga Pengarah UKM Prof Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Zawawi Ismail dan Mantan Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi.