Usaha Pemuliharaan Kelip-Kelip Di Melaka Oleh UKM

SELASA, 15 APRIL 2014 12:53

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

MASJID TANAH, MELAKA, 13 Apr 2014 – Tebing Sungai Rembau-Linggi berhampiran Kampung Paya Lebar di sini dipilih Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai tapak terbaharu projek pemuliharaan serangga Kelip-kelip dan Kunang-Kunang.

Kawasan hutan bakaunya adalah tapak terkini untuk rancangan penanaman pokok berembang bagi konservasi kelip-kelip di tebing sungai itu.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Prof Ir Dr Riza Atiq Abdullah OK Rahmat berkata rancangan memelihara kelip-kelip di Kampung Paya Lebar adalah sebahagian daripada program pemuliharaan kelip-kelip di Semenanjung Malaysia termasuk Kampung Dew, Perak dan Kampung Kuantan, Kuala Selangor.

Prof Riza Atiq berkata UKM telah menubuhkan skuad kelip-kelip yang berulang alik dari kampus Bangi ke Kampung Paya Lebar untuk memastikan projek konservasi itu berjaya dengan membantu mereka yang berminat menanam pokok berembang di tebing sungai yang kini didapati amat terhakis.

Majlis dirasmikan oleh Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka Datuk Ar. Ismail Othman. Tokoh Laureate Bermastautin UKM Dr Sir Richard Roberts dari Britain dan ketua projek Prof Madya Dr Norela Sulaiman dari Pusat Pengajian Sains Sekitaran dan Sumber Alam turut bersama menjayakan majlis pelancaran itu.

Dekan Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Prof Dr Shahrim Ahmad,  Prof Dato’ Dr Rahmah Mohamed juga dari FST serta pegawai pelancongan negeri dan ketua-ketua kampung turut hadir.

Dr Norela memberitahu portal berita UKM bahawa projek konservasi kelip-kelip dengan penglibatan masyarakat Kampung Paya Lebar itu adalah kajian bersama tiga fakulti UKM iaitu Pusat Pengajian Sains Sekitaran dan Sumber Alam FST, Pusat Pengajian Pembangunan Sosial dan Persekitaran Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) dan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan.

Beliau berkata kelip-kelip Kampung Paya Lebar hinggap pada pokok berembang (Sonneratia caseoraris) satu spesies bakau. Sekitar seratus batang berembang telah di tanam lebih awal dalam usaha membantu memulihara kunang-kunang di situ.

Pemuliharaannya penting kerana ia adalah sebahagian daripada penyumbang besar kepada alam sekitar hutan tanah lembap dan habitat alam semesta yang lain. Ulat kelip-kelip adalah pemangsa dan makan siput kecil yang menjadi haiwan perosak di tepi sungai.

Kelip-kelip (nama saintifiknya lampyridae) adalah keluarga serangga kumbang dalam order coleoptera.  Ia adalah kumbang bersayap dan biasanya digelar kelip-kelip kerana kelihatan bercahaya atau bioluminescence pada perutnya untuk menarik rakan-rakan atau mangsa. Hanya yang jantan boleh terbang manakala kelip-kelip betina menunggu di atas tanah.

Ia menghasilkan “cahaya sejuk”, tanpa frekuensi inframerah atau ultraungu. Ia adalah cahaya kimia yang dihasilkan daripada bahagian bawah perut yang boleh kelihatan kuning, hijau, atau merah pucat.

Rancangan Kelip-Kelip UKM dilaksanakan oleh penyelidik UKM dengan geran galakan penyelidikan universiti-komuniti. Geran itu bertujuan memberi rangsangan kepada penyelidik UKM supaya menghasilkan inovasi untuk kebaikan masyarakat setempat.

Masyarakat kampung telah mengambil bahagian dalam projek itu untuk menanam pokok bakau berhampiran Sungai Rembau-Linggi. Dianggarkan 90% daripada pokok bakau yang di tanam dalam tapak semaian makmal UKM telah berjaya dipindahkan ke tapak.

Kawasan bakau Kampung Paya Lebar ini juga terkenal dengan habitat ketam nipah, siput lokan dan lala, yang boleh menambahkan mata pencarian nelayan tempatan.

Siput-siput itu biasanya terdapat di kawasan air payau dan masin bergantung di pokok-pokok bakau, nipah, dan berembang. Tidak seperti siput lain, ia akan naik ke darat apabila air pasang.