Gejala Buli Kian Merebak Ke Universiti

SELASA, 23 DISEMBER 2014 11:41

Oleh Haslina Ramlee (Pelajar Pelatih UPM)
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 17 Disember 2014 – Gejala buli yang sering berlaku terhadap murid sekolah kini telah merebak di kalangan pelajar-pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) baik di institusi awam mahupun swasta.

Presiden Majlis Permuafakatan PIBG Kebangsaan, Prof Madya Dato’ Dr Mohd Ali Hassan berkata kes buli perlu ditangani segera dengan tindakan serta merta diambil apabila berlaku.

Berucap pada forum Bicara Persada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) atas tajuk ‘Buli di Sekolah: Igauan atau Realiti’ di sini hari ini, Dr Mohd Ali berkata kerjasama antara kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta swasta akan dapat menangani gejala ini daripada terus merebak di kalangan pelajar sekolah khasnya.

“Kes buli pada zaman moden sekarang sukar ditangani. Bebanan guru pada zaman dahulu adalah berbeza dengan bebanan yang mereka hadapi sekarang”, katanya.

Seorang lagi ahli panel Prof Madya Dr Mohd Rozmi Ismail dari UKM berkata pembuli biasanya adalah seorang yang menghadapi masalah emosi serta kurang berperasaan empati terhadap orang lain. Mereka biasanya terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

“Pembuli ini merupakan seorang yang tidak yakin dengan diri sendiri. Apabila menghadapi sesuatu masalah mereka tidak tahu cara penyelesaiannya hingga menggunakan kekerasan sebagai penyelesaian,” kata Dr Mohd Rozmi.

Mereka yang terlibat biasanya mempunyai masalah keluarga. Ibu bapa yang garang, cepat marah dan keluarga yang tidak bertolak ansur adalah antara puncanya.

Dari segi sosial pula, budaya masyarakat yang berkumpulan dan berpuak-puak juga adalah antara faktor berlakunya kes buli. Kehidupan di universiti yang berkonsepkan junior dan senior juga merupakan faktor utama kes buli berlaku di universiti, tambah beliau.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Lok Yim Pheng berkata kajian yang dilakukan terhadap 308 orang pelajar mendapati hingga 60 peratus daripada kes buli di sekolah berlaku di sekolah rendah.

Kejadian buli tidak boleh dianggap ringan kerana kesannya akan terus dirasai oleh mangsa walaupun setelah dewasa.

“Kes buli yang berlaku akan menyebabkan mangsa mengambil masa yang lama untuk melupakannya. Pelajar yang menjadi mangsa juga tidak dapat memberi tumpuan kepada pelajarannya,” kata Lok.

“Kejadian buli bukan sahaja berlaku dalam bilik darjah tetapi juga di luar bilik darjah ketika ketiadaan guru”, katanya.

Kes buli juga turut berlaku di kalangan guru dan ia adalah suatu keadaan yang sangat membimbangkan, tambah beliau.

Lok mencadangkan setiap sekolah mengadakan jawatankuasa yang di ketuai Guru Disiplin untuk menanganinya sambil berasa kesal kerana pihak sekolah atau masyarakat hanya memberi perhatian kepada pelajar yang membuli tidak kepada pelajar yang di buli.

DSP Foo Chek Seng daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), berkata semua pihak bertanggungjawab terhadap gejala buruk itu. Guru, ibubapa, polis, kerajaan, masyarakat dan pelajar harus mengambil peranan untuk menanganinya.

Pihak Polis sendiri telah mengambil peranan dengan melantik Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) untuk memantau setiap sekolah.

Sekolah juga berperanan dan harus bersedia menubuhkan persatuan Kadet Polis di sekolah serta mengadakan sukarelawan polis dalam kalangan guru disiplin dalam usaha mengurangkan kes buli.

“Penubuhan Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) di universiti juga adalah suatu langkah untuk mencegah kes buli atau keganasan di kalangan penuntut IPT selain memberi ilmu dan disiplin kepada anggota itu sendiri,” tambah DSP Foo.

Beliau yakin dengan tertubuhnya ‘Rakan Cop’ di mana orang awam dapat menjadi mata dan teliga polism, kes buli akan dapat di cegah dari terus berlaku.