Hutan Simpan Berembun Sebagai Sumber Perubatan Perlu Dipelihara

JUMAAT, 05 DISEMBER 2014 08:19

Oleh Haslina Ramlee (Pelajar Pelatih UPM)
Foto Faten Naseha

BANGI, 2 Disember 2014 – Peningkatan mendapatkan rawatan tradisional yang menggunakan tumbuhan daripada hutan simpan mendorong seorang penyelidik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menggesa Hutan Simpan Berembun di Negeri Sembilan diperlihara.

Faten Naseha Tuan Hussain penyelidik pascasiswazah di Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) UKM berkata permintaan untuk rawatan tradisional kini semakin meningkat.

Beliau kini sedang melakukan  Sarjana untuk mengkaji penilaian ekonomi terhadap tumbuhan ubatan di Hutan Simpan Berembun di bawah pengawasan Dato’ Shaharuddin Mohamad Ismail dan Prof. Emeritus Chamhuri Siwar dari LESTARI.

Beliau telah menjalankan kajian mengenai Hutan Simpan Berembun di Seremban kerana ia telah diklasifikasikan sebagai Hutan Simpan Dara. Ia berada di bawah jagaan Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan.

Faten Naseha telah membentangkan hasil kajiannya mengenai penggunaan bahan daripada hutan simpan pada Kolokium Siswazah LESTARI 2014 di sini akhir bulan lalu.

Beliau berkata Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menganggarkan sehingga 80% daripada penduduk dunia bergantung kepada perubatan tradisional untuk menjaga kesihatan mereka.

Kajian juga menunjukkan bahawa jualan produk tradisional yang digunakan untuk perubatan meningkat pada kadar 10% setahun bagi seluruh dunia. Ini menunjukkan permintaan tinggi terhadap hasil tumbuhan dari hutan.

Permintaan demikian lebih mendesak kerana tumbuhan di hutan juga digunakan untuk menghasilkan ubatan farmasi.

Ini secara tidak langsung memberi peluang kekayaan kepada negara apabila bahan demikian dieksport ke luar negara atau dijual di pasaran tempatan.

Faten Naseha telah memilih Hutan Simpan Berembun untuk kajiannya kerana ia telah diklasifikasikan sebagai Hutan Simpan Dara.

Hutan Simpan Berembun, katanya, amat kaya dengan sumber tumbuhan ubatan dan amat mudah pula diambil oleh sesiapa sahaja yang memasukinya untuk mengambil tumbuhan di dalamnya.

Beliau yang menggunakan pelbagai kaedah untuk kajiannya mendapati 873 jenis tumbuhan terdiri dari 86 spesis, 71 genera dan 47 famili telah direkodkan di hutan simpan itu. Antaranya ialah tumbuhan jenis Rinorea Anguifera, Barringtonia Macrostachya, Strychnos Ignatii.

Tumbuhan hutan demikian telah digunakan secara meluas dalam penyediaan perubatan tradisional mahupun untuk jualan secara komersial oleh industri.

Permintaan terhadap bahan-bahan itu juga telah meningkat kerana penggunaannya secara meluas untuk ubatan tradisional dan produk kesihatan moden.

Faten Naseha khuatir sumber hutan itu akan terjejas kiranya tiada wujud langkah penjagaan yang berkesan.