Keadaan Laut Semakin Asid Menyebabkan Ikan Berkurangan

RABU, 24 DISEMBER 2014 12:06

Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 23 Disember 2014 – Fenomena di mana ikan kini semakin berkurangan di seluruh dunia kerana suhu dan tahap keasidan lautan yang lebih tinggi dibawa oleh pembakaran bahan api fosil perlu ditangani.

Prof Dr Atsushi Ishimatsu dari Nagasaki University di Jepun, berkata kenaikan suhu dan pengasidan laut secara berterusan telah mengubah ekosistem laut hingga membawa kepada penukaran taburan ikan serta mengurangkan bilangan haiwan lautan.

Pemanasan global yang dibawa oleh kepekatan tinggi karbon dioksida (CO2) menyebabkan haiwan marin kurang makan hingga kadar membiak telah menurun.

Menyampaikan syarahan umumnya mengenai ‘Kesan Pengasidan Samudera dan Pemanasan Pantai Terhadap Haiwan Laut’, di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini, beliau menggesa penyelidik UKM menyumbang data mengenai kesan-kesan pengasidan laut di perairan pantai Malaysia.

“Data mengenai kesan pemanasan dan pengasidan laut pada haiwan laut telah terkumpul dengan banyaknya tetapi pengetahuan masih terhad mengenai mekanisme asas dan bagaimana perubahan persekitaran marin menjejaskan struktur ekosistem dan fungsinya pada dekad akan datang,” tambah beliau.

Syarahannya itu dianjurkan oleh Kursi UKM-YSD untuk Perubahan Iklim dan Program Sains Marin, Fakulti Sains dan Teknologi.

Prof Ishimatsu, yang melakukan penyelidikan untuk Pusat Pengajian Siswazah Sains Perikanan dan Pengajian Alam Sekitar di Universiti Nagasaki, mengkaji landak laut, yang amat popular sebagai hidangan di Jepun.

“Pertama, kita mendedahkan landak laut, Hemicetrotus Pulcherrimus, kepada keadaan CO2 tinggi dan kuantiti makanan tetap. Kita juga mengukur mobiliti dan metabolismenya. Keputusan menunjukkan bahawa pemakanan telah berkurangan, metabolisme merosot dan pada akhir 7 bulan pendedahan, pergerakan haiwan itu juga telah menurun. Yang ketara, pembiakannya tersekat kerana keadaan CO2 yang tinggi,” tambah beliau.

Pasukan penyelidiknya menjangkakan kesan itu adalah kerana sistem otot ikan telah rosak pada suhu yang biasa dan lebih tinggi, walaupun mereka bukanlah pakar fisiologi ikan.

Kajian yang sama telah dilakukan para penyelidik Jepun dan beberapa pasukan dari negara-negara lain pada haiwan krill di Kutub Selatan yang memberikan hasil yang sama.

Prof Ishimatsu mencadangkan kepada Prof Dato’ Dr Sharifah Mastura Syed Abdullah pemegang Kerusi UKM-YSD untuk Perubahan Iklim, yang turut hadir, supaya penyelidik di Malaysia menjalankan kajian yang sama pada haiwan marin tempatan seperti udang.

Beliau berkata jumlah ikan di seluruh dunia telah pun berkurangan kerana aktiviti penangkapan ikan yang berlebihan. Kini kajian telah menunjukkan bahawa pemanasan global juga telah mengancam kedudukan haiwan laut.

Didapati dari semua CO2 yang dilepaskan ke udara oleh pembakaran bahan api fosil, kira-kira 47% diserap oleh udara, 27% oleh tumbuh-tumbuhan termasuk hutan dan 26% oleh lautan.

Pada dasarnya pemanasan global berlaku kerana pelepasan CO2 yang meningkat hingga menyebabkan kenaikan kepekatan asid lautan.

Penyelidikan baru mendapati bahawa pelepasan sejumlah besar CO2 ke dalam laut mengubah keadaan kimia air dan menjejaskan kitaran kehidupan sejumlah besar organisma marin, terutamanya yang kecil.

Peningkatan CO2 di atmosfera telah meresap kepada seluruh permukaan laut hinga meningkatkan keadaan asid lautan, sekali gus menyebabkan semua organisma laut hidup dalam persekitaran yang lebih berasid.

Ketua Program Sains Marin UKM Prof Madya Zaidi Che Cob turut hadir.