Khidmat Masyarakat Harus Dijadikan Matapelajaran Wajib: Prof Imran Ho

ISNIN, 29 DISEMBER 2014 08:27

Oleh Nastura Nasir
Foto PKK

BANGI, 23 Disember 2014 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) harus mewajibkan program khidmat masyarakat dalam kurikulum semua fakultinya sebagai usaha untuk merapatkan hubungannya dengan masyarakat tempatan.

Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat) Prof Dr Imran Ho Abdullah berkata kegiatan khidmat masyarakat perlu dipandang lebih serius dan bukan hanya sebagai projek sukarelawan sahaja.

Prof Imran, yang baru-baru ini mewakili UKM pada persidangan gabungan unversiti global Talloires Network di Cape Town, Afrika Selatan, berkata UKM perlu mengekalkan projek masyarakatnya dan dilaksanakan secara berkesinambungan dan diberikan penilaian untuk menjadikannya sebagai modul silibus.

Bercakap kepada Pusat Komunikasi Korporat sekembali ke tanah air, beliau berkata hasrat untuk meningkatkan usaha khidmat masyarakat adalah sejajar dengan Bidang Keberhasilan Utama (KRA) yang ke-tiganya, iaitu ‘Perkongsian Pintar dan Keterlibatan Strategik’,

“Pelajar kita dari pelbagai bidang sains mahupun sastera sentiasa didedahkan dengan program khidmat masyarakat ataupun OPKIM”, ujar beliau.

UKM sememangnya sudah terkehadapan dalam membawa penyelidikan kepada masyarakat serta program keterlibatan bersama masyarakatnya.

Masyarakat, katanya, merupakan makmal hidup kepada universiti dan sentiasa perlu dikaji.

“Mungkin kita boleh belajar dari negara-negarsa America Latin yang mewajibkan program khidmat masyarakat berkredit dalam semua silibus pengajian universitinya sebagai salah satu langkah baru kita,” tambah beliau.

Keterlibatan universiti diukur melalui bilangan projek dan penaja. Projek yang saling berkait dalam skala besar akan mempunyai penaja serta mampu meraih penyertaan lebih banyak badan bukan kerajaan (NGO).

Keterlibatan masyarakat menjadi agenda utama di kalangan universiti-universiti unggul dunia pada persidangan Talloires Network’s Leaders Conference (TNLC 2014) pada awal bulan ini.

Talloires Network menganjurkan TNLC 2014  bagi mengangkat agenda keterlibatan masyarakat sebagai antara isu utamanya. Persidangan TNLC 2014 menghimpunkan 350 perwakilan daripada institusi anggota Talloires Network – 322 universiti dari 72 negara termasuk UKM.

Persidangan itu juga menyaksikan UKM sebagai antara unversiti Asia yang berjaya menerima geran daripada The Youth Economic Participation Initiative (YEPI).

Lapan buah universiti, termasuk Universidad Chile Austral, Universidad Veracruzana Mexico dan UKM, telah dianugerahkan geran antara US$350,000 (RM 1.23 juta) dan US $465,000 (RM1.63 juta) untuk tiga tahun bermula pada 2013 untuk meningkatkan program-program mereka menyediakan pelajar untuk pasaran.

YEPI, ialah inisiatif bersama antara Talloires Network dan Yayasan MasterCard, bertujuan membantu universiti di negara-negara membangun mempercepatkan proses golongan belia ke dunia pekerjaan, sama ada sebagai pekerja atau pun usahawan.