Surau Perpustakaan Tun Sri Lanang Berwajah Baru Beroperasi Semula

RABU, 24 DISEMBER 2014 15:07

Oleh Haslina Ramlee (Pelajar Pelatih UPM)
Foto Izwan Azman

BANGI, 20 Disember 2014 –  Surau perpustakaan Tun Sri Lanang (TSL) yang telah diubahsuai dan dilengkapi dengan segala kemudahan untuk kegunaan pelajar serta warga lain Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mula digunakan kembali sepenuhnya hari ini.

Ketua Pustakawan TSL, Puan Hafsah Mohd telah membukanya kembali secara rasmi hari ini di mana seramai 40 orang sukarelawan siswa diketuai Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Muhammad Sallehudin Khalid bersama warga UKM lainnya telah mengadakan gotong-royong membersihkannya.

Pusat Islam UKM telah menyumbangkan karpet, sejadah dan 30 naskah Al-Quran kepada surau itu manakala pemajunya syarikat Bina Integrated Trading Sdn Bhd telah menyumbang cat melalui pengarahnya Haji Rosli Haji Adam.

Puan Hafsah yang mewakili Naib Canselor berharap surau itu  akan terus aktif mengadakan pelbagai program kerohanian untuk kepentingan warga UKM.