UKM Sebagai Jambatan Antara Sekolah Dengan Universiti

RABU, 17 DISEMBER 2014 14:27

Oleh Haslina Ramlee (Pelajar Pelatih UPM)
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 9 Disember 2014 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai Pendaulat Amanah Negara perlu mengambil inisiatif bertindak untuk membina jambatan antara sekolah dengan universiti.

Ia juga harus berusaha memasyarakatkan dalam Sistem Pendidikan negara. Demikian kata Prof Ulung Dato’ Dr Shamsul Amri Baharuddin ketika berucap pada program Bicara Persada, UKM Pendaulat Amanah Negara: Suatu Tafsiran di sini hari ini.

Beliau berkata usaha perlu dilakukan untuk membina kembali citra UKM melalui projek UKM BERCERITA.

Selain memasyarakatkan UKM, beliau turut menyarankan pelajar dan tenaga akademik UKM perlu disedar serta diingatkan kembali mengenai sejarah, perkembangan, pencapaian serta prestasi yang ditempuhi UKM sejak penubuhannya.

Prof Shamsul Amri turut mengimbas kembali mengenai perubahan di mana universiti terkenal yang menjadi pusat penyelidikan boleh tenggelam jika usaha untuk menjadikan universiti sebagai ‘universiti kebangsaan’ tidak diberi penekanan.

Beliau mendakwa keadaan demikian telah berlaku kepada UKM di mana status sebagai universiti penyelidikan telah menenggelamkannya. Oleh itu sebagai sebuah universiti yang berteraskan penyelidikan ia harus berpayungkan ‘universiti kebangsaan.’

Prof Shamsul Amri yang juga Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) berkata UKM mempunyai keistimewaannya tersendiri jika dibandingkan dengan Institut Pengajian Tinggi (IPT) lain kerana ia merupakan satu-satunya universiti  ‘Kebangsaan’ di Malaysia.

Beliau juga menerangkan bahawa UKM sebagai satu-satunya universiti yang berstatus ‘Kebangsaan’ di negara ini perlu didaulatkan. UKM adalah sebuah institusi yang terbuka kepada semua warganegara dari segala kaum selagi menepati syarat yang ditetapkan oleh universiti itu sendiri, tambahnya.

“Universiti Kebangsaan diertikan sebagai universiti yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Segala penyelidikan dan kursus dibuat adalah lebih kepada kerja lapangan secara langsung”.

UKM telah mencapai kejayaan dari segi keterbukaan kepada pelajar. Ini terbukti dengan bukan sahaja rakyat Malaysia yang berjaya masuk ke UKM, tetapi pelajar dari pelbagai negara seperti Amerika Latin, negara-negara Timur dan Barat serta lainnya telah menjadi sebahagian daripada penuntut UKM, malah ada yang sudah pun menjadi alumni UKM,” ujar beliau.

Sejak dahulu lagi, sesebuah universiti dianggap sebagai satu tempat hebat yang menjadi rebutan orang ramai untuk belajar. Malahan universiti juga dianggap sebagai sebuah institusi yang mempunyai kesarjanaan yang tinggi.

“Akan tetapi, sekarang universiti sudah berubah daripada ‘menara gading’ kepada suatu entreport”, tambah beliau.

Antara yang hadir pada program bicara itu ialah Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali, Timbalan-Timbalan Naib Canselor Prof Ir Dr Riza Atiq Abdullah OK Rahmat (Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Prof Datin Noor Aziah Mohd Awal (Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni) dan Prof Dr Imran Ho Abdullah (Jaringan Industri & Masyarakat).