Cukai Karbon Sesuai Di Laksanakan Di Malaysia

ISNIN, 10 FEBRUARI 2014 17:09

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

BANGI , 10 Feb 2014 – Cukai Karbon, satu bentuk cukai yang dikenakan ke atas kandungan bahan api karbon, mungkin sesuai bagi Malaysia dan Indonesia sebagai suatu mekanisma yang berkesan untuk mengurangkan pelepasan karbon dan pencemaran udara sambil menjana hasil yang boleh membantu rakyat miskin.

Prof Madya Dr Budy Resosudarmo dari Australian National University (ANU) berkata, kedua buah negara itu melaksanakan subsidi bahan api dan sangat bergantung kepada kuasa arang batu untuk tenaga elektrik. Negara-negara Asean yang lain tidak memberi subsidi bahan api.

Bercakap dalam satu syarahan bertajuk Ekonomi – Kesan daripada Cukai Karbon di ASEAN, anjuran Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini hari ini, Dr Budy berkata cukai karbon hendaklah dikenakan ke atas industri berat dan pemilik kereta. Ia tidak akan membebankan kumpulan berpendapatan rendah.

Pakar ekonomi itu berkata cukai karbon merupakan satu bentuk pengimbang kepada beban subsidi yang ditanggung oleh kerajaan yang melaksanakannya.

Beliau mencadangkan 50% daripada hasil cukai karbon hendaklah digunakan untuk memberi subsidi kepada golongan miskin tegar, sementara pelepasan cukai boleh diberi kepada industri yang membayar cukai karbon.

Di negara-negara miskin di Asia Tenggara seperti Vietnam dan Kemboja, cukai karbon tidak akan meringankan kesusahan orang awam, malahan akan menyebabkan kemarahan hingga boleh menjejaskan kestabilan negara.

Di negara yang lebih kaya tetapi kecil seperti Singapura dan Brunei, cukai karbon tidak akan memberi banyak manfaat kerana mereka tidak ada industri berat yang menggunakan bahan api fosil dan berkurangan kenderaan bermotor berbanding Indonesia dan Malaysia.

Dr Budy menggunakan model perisian komputer yang dikenali sebagai GEMS untuk membuat rumusan demikian. Beliau mencadangkan cukai itu dikenakan pada kadar US$10 setiap tan pelepasan karbon.

Beliau melahirkan keyakinan bahawa dengan beberapa penalaan halus dan penyesuaian, Malaysia dan Indonesia boleh mencapai kejayaan untuk menaikkan pendapatan isi rumah dalam jangka masa panjang.

Cukai karbon, katanya, adalah suatu mekanisma yang berkesan untuk mengurangkan pelepasan karbon dan pencemaran udara sambil menjana hasil yang boleh membantu mereka yang miskin.

Beliau berkata cukai itu berbaloi jika dilaksanakan di Indonesia dan Malaysia, walaupun peningkatan hasil dikurangkan kerana subsidi.

Walau bagaimanapun, pertimbangan yang paling penting ialah politik, di mana isi rumah dan industri boleh diberi pampasan.

Beliau tidak yakin ia akan membawa faedah ketara bagi Thailand dan Filipina.

Cukai karbon boleh menjadi cukai regresif, iaitu secara langsung atau tidak langsung boleh memberi kesan kepada golongan berpendapatan rendah yang tidak seimbang. Kesan regresif cukai karbon boleh ditangani dengan menggunakan hasil cukai untuk membantu kumpulan berpendapatan rendah.

Turut hadir pada syarahan itu ialah Timbalan Dekan FEP Prof Dr Ishak Yusof dan pakar ekonomi perundingan Prof Dr Jamal Othman.

Dr Budy adalah Presiden Pertubuhan Persidangan Sains Penyelidikan Serantau Pasifik (PRSCO), sebuah badan yang meningkat dan memudahkan pertukaran maklumat penyelidikan dalam bidang sains di kalangan ahli-ahli sains serantau.

Dr Budy menyertai Jabatan Ekonomi di ANU pada Oktober 2001. Sebelum itu, beliau adalah seorang pensyarah di Program Siswazah dalam bidang Ekonomi, Universitas Indonesia dan seorang penyelidik di Agensi Indonesia untuk Penilaian dan Penggunaan Teknologi.

Aktiviti penyelidikan beliau termasuk menyiasat penggunaan sumber alam dari segi ekonomi dan politik, menentukan kesan ekonomi mengenai dasar-dasar alam sekitar, menilai hubungan antara kualiti alam sekitar dan modal insan serta menganalisis kesan pengagihan kuasa pada ekonomi serantau.

Beliau pernah menjadi penyelidik di Badan Penilaian dan Penggunaan Teknologi (1996-2001), Felo Fulbright di JF Kennedy School of Government, Harvard University (2001) dan rakan postdoctoral di Community Development and Applied Economics, University of Vermont (1998-1999).