Kanak-kanak Yang Sering Di Dera Akan Kurang Hormati Ibu Bapa

KHAMIS, 20 FEBRUARI 2014 12:35 ADMINISTRATOR

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 18 Feb 2014 – Kajian menunjukkan bahawa anak-anak yang sering di sebat oleh ibu bapa,  penjaga atau guru ketika kanak-kanak akan kehilangan rasa hormat kepada mereka apabila sudah dewasa.

Prof Dr Zuria Mahmud dari fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata hukuman dera, yang merupakan adat lama dalam masyarakat Malaysia, boleh menjejaskan keharmonian keluarga selain tidak dapat diterima undang-undang antarabangsa.

Bercakap pada ceramah umumnya di sini baru-baru ini, beliau menyebut wujudnya trend di kalangan orang dewasa muda yang mencurigai orang tua, terutama ibu bapa mereka. Ceramah itu dianjurkan Fakulti Pendidikan.

“Kaunselor di UKM dan di tempat lain yang menemuramah pelajar mendapati bahawa sesetengah remaja menjadi geram terhadap ibu bapa mereka kerana mereka sering dipukul ketika kanak-kanak di rumah,” katanya.

Prof Zuria berkata terdapat pelajar yang gembira apabila dapat hidup berasingan daripada ibu bapa mereka serta menghargai kebebasan. Mereka terasa bebas dan tidak mengendahkan lagi nasihat orang tua mereka.

Beliau juga mengingatkan keluarga Malaysia yang ingin tinggal di luar negara supaya mengkaji dengan teliti undang-undang keluarga antarabangsa mengenai perlakuan terhadap kanak-kanak.

Malaysia, seperti banyak negara lain termasuk Kesatuan Eropah, telah menandatangani konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai kanak-kanak pada tahun 1989. Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC) itu antara lain memperuntukan semua negara perlu berusaha untuk menghapuskan semua hukuman berbentuk kekejaman atau hukuman yang menghina kanak-kanak.

Prof Zuria mencadangkan kerajaan Malaysia lebih bertanggung jawab terhadap konvensyen itu yang ia sudah pun tandatangani.

Pelajar-pelajar pasca-ijazah yang sedang menyediakan tesis mengenai kaunseling disarankannya mengkaji dengan teliti syarat-syarat CRC.

Di sesetengah negara, terutama di Barat, hukuman bagi penderaan kanak-kanak boleh mencecah hingga ke sepuluh tahun penjara.

Pelaksanaan CRC memerlukan kajian semula undang-undang penjagaan kanak-kanak. Menurut CRC, setiap kanak-kanak mempunyai hak asasi tertentu,  termasuk hak untuk hidup, nama dan identitinya sendiri, dan di didik oleh ibu bapa dalam sebuah keluarga atau perkumpulan budaya serta terus mempunyai hubungan dengan kedua-dua ibu bapa, walaupun mereka bercerai.

Bidang pengkhususan Prof Zuria ialah kaunseling, pendidikan dan pengawasan. Selain mengajar dan menyelia beliau turut aktif dalam penyelidikan dan penerbitan. Karya-karyanya tertumpu kepada isu-isu berkaitan dengan amalan kaunseling dan latihan.

Beliau mempunyai pengalaman bekerja selama 27 tahun, mulanya sebagai kaunselor di Maktab Rendah Sains MARA.

Beliau berumah tangga dan mempunyai tiga orang anak perempuan dan seorang anak angkat.