Pelajar Universiti China Mudah Kuasai Bahasa Melayu

JUMAAT, 21 FEBRUARI 2014 17:10

Oleh Shahnurhazlim Mastas
Foto Izwan Azman

BANGI, 17 Feb 2014 – Sebelas orang pelajar dari universiti di China telah membuktikan kursus bahasa Melayu yang mereka pelajari di UKM amat berkesan walau pun singkat hingga membolehkan mereka menulis dan membentang kertas kerja dalam bahasa itu.

Pelajar-pelajar itu telah mengambil bahagian dalam Kursus Intensif Keterampilan Bahasa Melayu (KIKBM) di ikuti dengan suatu Kolokium yang telah diadakan pada 7 Feb lalu bertempat di Bilik Wacana, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA).

Pembelajaran bahasa Melayu di KIKBM melibatkan beberapa peringkat yang antaranya meliputi aspek kemahiran komunikasi, bacaan, penulisan, pertuturan, pendengaran dan tatabahasa. Selain itu mereka diberi pilihan menjalani kursus intensif secara individu atau berkumpulan.

KIKBM adalah suatu usaha ATMA memartabat dan memperkasakan Bahasa Melayu dan kolokium yang menyusul ternyata bukan sahaja telah mewujudkan medium bagi perkongsian ilmu berkaitan budaya sesebuah negara, malahan membantu mempromosikan khazanah Melayu di mata dunia.

Pemangku Pengarah ATMA, Prof Dr Idris bin Aman, berkata kolokium  itu adalah antara usaha ATMA untuk memartabatkan penguasaan Bahasa Melayu selain menjadi satu tanda kepada UKM khususnya dalam perjuangan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di peringkat dunia.

“Platform kolokium telah berjaya menjadi salah satu aktiviti kepada kursus KIKBM yang mana diharapkan program demikian dapat terus diperkembangkan dan menarik minat lebih ramai pelajar dari luar negara bagi mengikuti kursus jangka pendek bahasa Melayu yang ditawarkan,” katanya kepada Portal Berita UKM selepas merasmikan program itu baru-baru ini.

Acara separuh hari itu turut menyajikan pemandangan menarik yang mana kebanyakan pelajar berbusana baju kurung, kelihatan selesa dipanggil dengan nama Melayu, seperti Zou Yan dengan nama Hanis, Gu Xin (Firdaus), Li Jianzun (Farid) dan Li Zhuangye (Lina).

Sebagai salah satu kriteria bagi menyempurnakan tahap pembelajaran akhir, semua pelajar di wajib membentang kertas kerja dalam bahasa Melayu bertemakan sejarah dan kebudayaan di Malaysia dan China atas tajuk seperti Seni Khat, Semangat Patriotik di Kalangan Belia Malaysia, Sejarah Matawang China, Adat Pengebumian China dan Kebudayaan Barang Kemas Baba dan Nyonya.

Persembahan mereka menunjukkan kesungguhan kesemua mereka cuba berinteraksi menggunakan bahasa Melayu pada sesi pembentangan kertas kerja.