Prof Dr Mohd Raihan Taha Pengarah Baru LESTARI

RABU, 19 FEBRUARI 2014 11:59

Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 10 Feb 2014 – Prof Dr Mohd Raihan Taha dari Jabatan Kejuruteraan Awam dan Kejuruteraan Struktur, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) hari ini dilantik sebagai Pengarah baru Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI).

Beliau menggantikan Prof Dato’ Dr Mazlin Mokhtar yang telah dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi baru-baru ini.

Upacara penyerahan tugas dari Prof Mazlin kepada Prof Raihan berlangsung di bangunan LESTARI di kampus UKM di sini hari ini.

Prof Mazlin berkata dengan sokongan berterusan dari fakulti-fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) serta Sains dan Teknologi (FST) yang telah banyak menyumbang dan menyokong LESTARI, program pelbagai coraknya akan dapat diteruskan.

Beliau yakin (LESTARI) dengan pengarah barunya akan terus melonjak ke hadapan melalui program penyelidikan pelbagai bidang yang melibatkan pelbagai disciplin.

Ini adalah atas dasar kehendak rakyat terhadap pembangunan yang mampan serta usaha menangani isu ekonomi, sosial, alam sekitar dan tadbir urus rakyat yang lebih prihatin terhadap pertalian antara air, tenaga, jaminan makanan dan perubahan iklim.

Prof Dr Mazlin juga menyampaikan peringatan Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali yang telah memuji kerja dan pencapaian LESTARI melalui program pelbagai disiplinnya terutama di Langkawi.

Beliau ingin melihat pencapaian yang sama di semua kampusnya di seluruh Malaysia dan tidak tertumpu ke atas Langkawi sahaja.

Prof Raihan dalam ucapannya berikrar akan mencuba sedayanya untuk membantu meningkatkan nama baik UKM ke pesada dunia.

“LESTARI mempunyai ramai staf yang berbakat dan berkemahiran tinggi. Ia berazam dengan sokongan semua untuk meningkatkan kedua-dua LESTARI dan UKM ke tahap yang lebih baik dengan meneruskan kerja-kerja penyelidikan dan pembangunannya,”kata Prof Raihan.