UKM Terus Menjuarai Kejohanan Kriket Perisai Raja Melayu

SELASA, 25 FEBRUARI 2014 16:20

Oleh Suhaimi Sulaiman, Pegawai Belia dan Sukan UKM
Foto Pusat Sukan

KLANG, SELANGOR, 22 Feb 2014 – Pasukan Kriket Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya buat kali ketiga berturut-turut merangkul Kejohanan Kriket Perisai Raja Melayu tahun ini.

Mereka telah menumpaskan musuh tradisi, pasukan Angkatan Tentera Malaysia dengan 8 wicket pada perlawanan akhir di  Bayuemas Oval di sini hari ini.

Kejohanan itu telah berlangsung di UKM Oval, Victoria Oval dan Kajang Oval dari 17 hingga hari ini.

Walaupun pasukan UKM ketiadaan tiga tonggak utamanya yang sedang beraksi di dengan beberapa kelab di luar negara pada perlawanan akhir hari ini, mereka tetap tidak menghadapi sebarang masalah untuk menundukkan pasukan ATM.

Angkatan Tentera Malaysia yang memenangi undian memilih untuk memukul terlebih dahulu pada sesi pagi dikejutkan dengan beberapa pemukul utama mereka dikeluarkan dalam masa yang singkat.

UKM yang membariskan kesemua pemutar untuk membuat balingan telah mempamerkan prestasi sebenar yang jauh berbeza daripada apa yang dipamerkan ketika beraksi di peringkat kumpulan dan peringkat separuh akhir sebelum ini. Mereka telah berjaya menyekat pasukan ATM setakat 72 larian sahaja.

Pasukan UKM yang memukul pada sesi kedua tidak menunggu lama untuk memastikan kemenangan apabila berjaya melepasi angka 72 dalam tempoh 16 over dengan kehilangan 2 wicket sahaja.

Berikut ialah angka-angka untuk perlawanan akhir itu.

Tentera 72 (40.5 over) Rosman Zakaria 19, Ariffin Ramly 15, Suharril Fetri Shuib 10.  Shahrulnizam Yusof 3-12, Faruq Hakimin Azmi 2-12, Fauzan Malik 2-13, Haziq Zainudin 2-20.

UKM 74-2 (16.5 over) Haziq Zainudin 30 larian kekal, Adzim Yahaya 19, Faiz M. Noor 14 kekal, Fikri Makram Rosdi 11.

Pemain terbaik babak akhir: Shahrulnizam Yusof (UKM).

Pemain terbaik kejohanan: Fikri Makram Rosdi (UKM).

Kejohanan yang diilhamkan oleh Raja–Raja Melayu pada tahun 1951 merupakan kejohanan yang kukuh dan berprestij, melibatkan penyertaan negeri-negeri dan pasukan jemputan dari seluruh negara.