Isteri Perdana Menteri Turki Melawat PERMATAPintar

KHAMIS, 16 JANUARI 2014 00:00

Oleh Shahfizal Musa
Foto Izwan Azman

BANGI 10, Jan 2014 – Lawatan Wanita Pertama Republik Turki, Emine Erdorgan ke Pusat PERMATAPintar Negara di sini hari ini diharap akan membuka ruang untuk kanak-kanak pintar negara itu belajar di sini.

Pengarah PERMATAPintar, Prof Dr Noriah Mohd Ishak yang menyatakan hasrat itu telah memberi penerangan mengenai programnya kepada Puan Emine yang berada di Malaysia menyertai lawatan kerja suaminya, Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan.

PERMATAPintar telah pun menjalankan kerjasama demikian dengan beberapa buah negara Asia Barat.

Anak perempuan puan Emine, Sumeyye Erdogan dan Naib Canselor UKM Prof Datuk Noor Azlan Ghazali turut hadir.

Puan Emine dikatakan sinonim dengan usaha prihatinnya di Turki kerana selalu membantu umat Islam yang dilupakan tidak kira di mana saja mereka berada.

Pada tahun 2009 beliau menganjurkan perjumpaan “Wanita untuk Keamanan Di Bumi Palestin” di mana Wanita Pertama dari negara Islam mengutuk kekejaman askar Israel di Gaza dan menyeru masyarakat antarabangsa berusaha untuk menamatkan keperitan wanita dan kanak-kanak di sana.

Pada tahun 2011 beliau sendiri telah menghantar dan membahagikan bantuan kepada mangsa kebuluran di Somalia sehingga dalam khemah mereka.

Pada tahun 2012 beliau telah masuk ke Myanmar untuk menghantar bantuan kepada kaum Rohingya di Arakan, selepas pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh pengganas Buddha.

Selain dari itu beliau juga amat menitikberatkan soal pendidikan, suatu agenda penting yang diperjuangkannya selepas membantu umat Islam yang dilupakan.

Beliau telah diiringi oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang juga penaung program PERMATAPintar.