Konsert Diraja Yang Mempesonakan Sempena Ulang Tahun Keputeraan Ke 66 Tuanku Muhriz

SELASA, 28 JANUARI 2014 07:55

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto : Ra’ai Osman, Shahiddan Saidi

BANGI, 25 Jan 2014 – Konsert yang berkonsepkan muzik orkestra dilangsungkan hari ini oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk meraikan Hari Keputeraan Ke 66 Tuanku Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir, Canselor UKM.

Konsert ini menggabungkan lebih 66 ahli muzik yang terdiri daripada kakitangan, pelajar UKM dan alumni UKM.

Lagu-lagu yang dipilih untuk dipersembahkan telah digubah semula muziknya oleh Dato’ Dr Johari Salleh, tokoh muzik terkemuka tanah air dan felo kanan di Pusat Akreditasi Pembelajaran UKM dan Mohamad Adzan Mohammad Fadzil, pegawai kebudayaan di Pusat kebudayaan Jabatan Perkhidmatan Pelajar.

Pada majlis persembahan itu, selain memotong sebuah kek, Tuanku Muhriz turut berkenan menerima cenderamata khas.

Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali, dalam kata-kata aluannya, merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Tuanku Muhriz sempena hari keputeraan baginda.

Beliau berkata konsert di Raja UKM 2014 dipersembahkan sebagai tanda penghargaan seluruh warga UKM kepada Tuanku Canselor dan Tunku Ampuan Tuanku Aishah Rohani Binti Almarhum Tengku Besar Mahmud.

Di antara pemuzik yang menghiburkan para hadirin ialah anakanda Tuanku Muhriz, Tunku Zain Al-‘Abdin yang memainkan piano pada persembahan khas lagu tradisional Tanah Pusaka.

Malam diserikan dengan persembahan artis jemputan penyanyi jazz terkenal Datuk Sheila Majid yang mendendangkan lagu-lagu yang sering dikaitkan dengan beliau; Dia, Aku Cinta Pada mu dan Sinaran dengan iringan Orkestra UKM

Seorang lagi artis jemputan ialah Mohammed Rauzan Alwi, yang lebih dikenali sebagai Roy yang mempersembahkan lagu Ku Impikan Bintang dan All of Me.

Persembahan orkestra ini turut diserikan dengan penglibatan kumpulan tarian ARTISUKMA dan kumpulan PERMATApintar yang menghiburkan para hadirin dengan lagu Putera Puteri dan Setia Malaysia.

Konsert diakhiri dengan persembahan penutup rangkaian lagu-lagu Beatles oleh gabungan orkestra dan kumpulan tarian UKM.

Turut hadir ialah ahli lembaga pengarah UKM dan ketua-ketua serta pegawai-pegawai kanan fakulti dan pentadbiran universiti.