Majlis Penghargaan Dan Perpisahan Kepada Prof Sharifah Hapsah

SELASA, 28 JANUARI 2014 08:14

Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto Izwan Azman

BANGI, 22 Jan 2014 – Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin yang telah berkhidmat selama tujuh tahun sebagai Naib Canselor berkata beliau akan sentiasa memberi ruang dan masanya demi kebaikkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Berucap di majlis perpisahannya di Hotel Puri Pujangga UKM di sini hari ini Prof Sharifah Hapsah berkata dalam tempoh itu beliau telah berupaya untuk menaikkan kedudukan UKM menjadi lebih baik dan bertaraf dunia.

Beliau hanya mampu membina dan menambah apa yang telah dilakukan oleh barisan pimpinan UKM sebelumnya dan berkata kini tiba masanya bagi Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali untuk menjadikan UKM antara universiti berpengaruh di mata dunia.

“Suatu perkara yang harus dilakukan adalah untuk menjadikan lulusan UKM usahawan yang berjaya dan berdaya saing. Bukan sahaja untuk menjadi pelajar yang senang mendapat kerja tetapi perlu mendidik mereka menjadi usahawan yang mempunyai pernigaan sendiri.

“Kini terdapat terlalu ramai graduan yang mengejar pekerjaan yang terhad. Maka itu mereka perlu tahu cara menjadi usahawan,” kata Prof Sharifah Hapsah.

Prof Noor Azlan berkata seluruh warga UKM rindu akan Prof Sharifah Hapsah dan terasa sesuatu telah hilang dengan persaraannya kerana beliau telah meninggalkan suatu warisan yang amat besar lagi sukar ditandingi.

Katanya beliau telah menemui rahsia gaya kepimpinan Prof Sharifah Hapsah dalam autobiografi beliau. Sebahagian daripada ciri-ciri kepimpinannya adalah dengan menggunakan kaedah ICT iaitu penyertaan menyeluruh, perundingan dan ketelusan.

“Saya rasa ini adalah nasihat yang amat baik bagi diri saya, dalam menerajui satu institusi yang besar seperti UKM,” tambah Prof Noor Azlan.

“Apa yang Tan Sri telah tinggalkan kepada kita, adalah suatu cabaran besar, iaitu meneruskan usahanya untuk menjadikan UKM sebagai sebuah institusi yang baik dan bertaraf dunia di mana pelajar akan datang untuk menimba ilmu dan juga sebuah institusi yang akan terus mempertahankan impian dan integriti negara, dengan menegakkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengajian tinggi,” tambah Naib Canselor.

Keempat-empat timbalan Naib Canselor juga hadir di upacara perpisahan itu, iaitu Prof Dato’ Ir.Dr Othman A. Karim (Hal-ehwal Pelajar dan Alumni); Prof Dr Ir Riza Atiq Abdullah (Hal-ehwal Akademik dan Antarabangsa); Prof Dr Mazlin Mokhtar (Hal ehwal Penyelidikan dan Inovasi) dan Prof Dato’ Dr Saran Kaur Gill (Hal ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat).

Prof Noor Azlan kemudiannya telah menyampaikan hadiah perpisahan kepada Prof Sharifah Hapsah bagi pihak seluruh masyarakat UKM.