Pelajar Universiti Asean Dipuji Kerana Prihatin Terhadap Masyarakat

SELASA, 28 JANUARI 2014 00:00

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Izwan Azman

BANGI , 27 Jan 2014 – Kejayaan projek kerjasama antara pelajar dari universiti-universiti dalam ASEAN menunjukkan bahawa remaja di rantau ini benar-benar mengambil berat terehadap masyarakat yang kurang bernasib baik di sekeliling mereka.

Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata belia yang berpendidikan tinggi di rantau ini menjadi lebih prihatin akan nasib rakyat miskin, berikutan kesedaran yang semakin meningkat dalam ASEAN.

Prof Noor Azlan berkata demikian ketika merasmikan bengkel dua hari Penilaian dan Perancangan Program Sukarelawan Belia ASEAN (AYVP) disini hari ini. Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof Dato’ Dr Saran Kaur Gill.

Beliau berkata bahawa hubungan antara universiti-universiti di ASEAN juga menjadi lebih ketara kerana keperluan asas dan kepentingan bersama.

AYVP adalah landasan khusus sukarelawan belia yang bertujuan mewujudkan peluang berkhidmat untuk sukarela berpengetahuan, menyokong pertukaran pengalaman pembelajaran, membangunkan kapasiti, meningkatkan pemahaman silang budaya, menjalin semangat beridentiti serantau serta membantu masyarakat di seluruh ASEAN.

Prof Noor Azlan berkata beliau sentiasa memberi keutamaan kepada hubungan ekonomi Malaysia dengan negara-negara ASEAN ketika bertugas di Jabatan Perdana Menteri sebagai pakar ekonomi.

Apabila kembali ke tugas akademik di UKM beliau terus menekankan kepentingan pelajar turut terlibat dengan masyarakat serba kekurangan yang menghadapi pelbagai masaalah baik di kawasan tengah bandar mahu pun di kawasan pedalaman.

Beliau memuji AYVP kerana mendorong remaja, terutama pelajar universiti, dalam ASEAN untuk menjadi rakyat yang lebih arif dan prihatin terhadap masyarakat serba kekurangan dengan berkhidmat kepada mereka.

Prof Noor Azlan berkata kehidupan kampus dan aktiviti ilmiah kadang kala boleh mengalih perhatian pelajar dari realiti kesusahan masyarakat dalam negara mereka sendiri.

Matlamat utama AYVP adalah untuk menggalakkan sukarelawan belia memberi sumbangan dalam usaha pembangunan masyarakat. Ia melibatkan anak-anak muda berusia antara 18 dan 30 dari kalangan universiti dan golongan  profesional dari seluruh ASEAN.

UKM merupakan urusetia AsiaEngage, sebuah pertubuhan payung serantau untuk menggalakkan penglibatan sosial dan komuniti oleh universiti-universiti di ASEAN. Prof Saran Kaur adalah Pengarah Eksekutifnya.

Melalui AsiaEngage, UKM menerajui tiga jaringan universiti untuk rantau ini: AYVP, jaringan Perindustrian dan Universiti Komuniti Asia-Talloires (ATNEU ) dan Rangkaian Universiti ASEAN bagi Tanggungjawab Sosial (AUN-USR&S) .

AYVP @ AsiaEngage dibiayai oleh Agensi Amerika Syarikat bagi Pembangunan Antarabangsa (USAID ) dan disokong oleh Kementerian Pendidikan dan Kementrian Belia dan Sukan.