Rakyat Di Gesa Tidak Berbalah Mengenai Isu Sensitif

KHAMIS, 23 JANUARI 2014 11:04

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ra’ai Osman

BANGI, 19 Jan 2014 – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup meminta perbalahan mengenai isu sensitif yang menyentuh sentimen perkauman dan agama dihentikan demi keharmonian negara.

“Semakin kurang kita bercakap mengenai isu-isu sensitif adalah lebih baik,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan ke-3 Pemantapan Citra Kenegaraan: Perkongsian Pengalaman (COSMA3) yang berlangsung selama dua hari anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Beliau berkata perbincangan mengenai isu-isu positif atau penjelasan terperinci terhadap sesuatu isu adalah lebih memberi manfaat kepada rakyat.Terdahulu dalam ucapannya Kurup berkata beberapa isu semasa yang gagal dibendung ketika ini mencetuskan ketegangan etnik dan agama, sekali gus menimbulkan kebimbangan rakyat untuk meneruskan kehidupan seharian.

“Isu penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh penganut Kristian turut menguji keutuhan hubungan etnik yang telah terjalin sejak merdeka lagi. Saya percaya penyampaian mesej yang jelas kepada rakyat berupaya memperbetulkan persepsi terhadap usaha kerajaan yang mendukung keharmonian,” katanya.

Mahkamah Rayuan sebelum ini membuat keputusan tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan majalah Herald. Penerbit majalah itu telah membawa perkara ini untuk rayuan di Mahkamah Persekutuan yang dijangka bersidang dan membuat keputusan pada 24 Februari nanti.

Sehubungan itu, Kurup berkata semua pihak perlu menghormati keputusan mahkamah tanpa perlu membuat sebarang provokasi.

Dalam perkembangan lain, beliau menggesa semua universiti awam dan swasta menggalakkan pelajar memberi sumbangan positif kepada isu-isu semasa supaya remaja menjadi kurang cenderung untuk membuat demonstrasi jalanan.

Beliau kecewa melihat belia mengambil bahagian dalam protes sedangkan mereka boleh membantu meringankan ketegangan awam dengan menumpukan pada pelajaran mereka.

Beliau juga berkata sebuah modul pelajaran baru ‘Hubungan Etnik’ untuk pendidikan yang diperkenalkan di institusi pengajian tinggi perlu dimulakan di peringkat sekolah.

Beliau berkata bahawa adalah lebih baik untuk mula mengajar anak-anak mengenai hubungan etnik seawal mungkin kerana tidak semua pelajar akhirnya akan masuk universiti.

Mengenai persidangan COSMA3 itu, Kurup berkata ketetapan yang dibuat akan memberi idea kepada kerajaan untuk menyediakan satu pelan tindakan kebangsaan mengenai perpaduan.

Persidangan tahunan, yang kini memasuki tahun ketiga, dianjurkan oleh Institut Kajian Etnik (KITA) di UKM, bersama Kementerian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Malaya.

Turut hadir Naib Canselor UKM, Prof Dato’ Dr Noor Azlan Ghazali dan Pengarah KITA, Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin.

Seramai 40 sarjanawan dan ahli akademik membentangkan kertas penyelidikan mereka pada persidangan itu.