Gugusan Pentadbiran Menjuarai Sukan Staf UKM 2014

RABU, 02 JULAI 2014 14:19

Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 20 Jun 2014 – Gugusan Pentadbiran telah dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan Sukan Staf Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 2014 yang telah berlangsung selama sembilan hari di sini pertengahan bulan ini.

Kontingen itu telah memenangi 12 pingat emas, 8 perak, 6 gangsa dan telah menerima piala pusingan serta wang tunai RM1000.

Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Sukan, Sektor Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan, Dr Ahmad Naim Ismail ketika menutup majlis tersebut mengesyorkan setiap universiti mengadakan ‘Pangkalan Data Atlet’ untuk pelajar dan kakitangan mereka yang aktif dalam sukan serta boleh mewakili setiap universiti.

Pangkalan data itu boleh digunakan oleh universiti untuk memantau kemajuan kakitangan dari segi kesihatan fizikal dan mental serta menggunakannya sebagai rekod peribadi yang boleh ditambah sebagai pencapaian individu dalam fail masing-masing.

Ia juga boleh digunakan untuk penyelidikan yang berkaitan dengan sukan serta untuk industri sukan yang memerlukan data mengenai atlet.

Dr Ahmad Naim berkata kementerian menyokong program sukan di universiti bukan sahaja di kalangan pelajar tetapi juga untuk kakitangan mereka.

Selain dari gugusan Pentadbiran gugusan-gugusan Kampus  Kuala Lumpur (KKL); Perkhidmatan; Sains; Sastera; Perubatan dan IKHTISAS turut mengambil bahagian.

Antara acara terakhir yang dilangsungkan semasa majlis penutup ialah larian berganti 4X100 meter Lelaki Senior yang dimenangi gugusan Pentadbiran, 4X100 meter Wanita Senior dimenangi gugusan Pentadbiran dan 4X100 meter Lelaki Veteran di menangi gugusan Perkhidmatan.

Ia diikuti persembahan tarian senamrobik dan penyampaian hadiah kepada pemenang.