Industri Dan Ahli Akademik Perlu Bekerjasama Untuk Pengeluaran Tenaga Boleh Diperbaharui

JUMAAT, 04 JULAI 2014 14:22

Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto Izwan Azman

BANGI, 20 Jun 2014 – Industri dan ahli akademik harus bekerjasama untuk membantu menghasilkan tenaga yang boleh diperbaharui dan mesra alam kerana tenaga demikian itu adalah kunci bagi kelestarian pembangunan pada masa depan.

Timbalan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dato’ Dr Saran Kaur Gill berucap pada Bengkel Tenaga Diperbaharui Sekolah ASEAN ke-7 berkata bengkel itu bukan sahaja berjaya mengumpulkan minda terbaik dalam bidang sains tetapi juga dapat membantu mencari jawapan kepada pengeluaran tenaga yang tidak memusnahkan sumber asli.

Bengkel seminggu yang berlangsung di Puri Pujangga UKM berakhir hari ini. Ia dihadiri peserta dari 11 negara iaitu Azerbaijan, Maldives, Indonesia, Brunei, Kazakhstan, Afghanistan, Bangladesh, Vietnam, Thailand dan Laos.

Malaysia, katanya, telah berjanji untuk mengurangkan pengeluaran karbonnya sebanyak 40% menjelang 2020 di bawah Protokol Kyoto dan orang ramai boleh membantu negara mencapai sasaran itu.

Setiap individu, katanya, boleh berperanan untuk bekerjasama mengurangkan pengeluaran tenaga yang boleh mengakibatkan pencemaran dengan melakukan amalan-amalan terbaik.

Antaranya perlakuan mudah seperti menutup lampu apabila keluar dari bilik, mematikan penghawa dingin apabila tidak digunakan dan mematikan televisyen ketika keluar. Tabiat itu walaupun kecil tetapi boleh memberi impak positif pada jangka panjang terhadap pengurangan penggunaan tenaga.

Beliau menyarankan peserta, selain membincangkan persoalan tenaga yang boleh diperbaharui perlu juga membina rangkaian perhubungan antara mereka, institusi, universiti serta syarikat yang mereka wakili.

Bengkel seperti itu bukan sahaja untuk mencari jalan baru menyelesaikan masalah tetapi juga boleh mengukuhkan lagi hubungan antara mereka selain bertemu kenalan baru.

Bengkel itu dianjurkan bersama oleh Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI); Pendidikan dan Kebudayaan Islam Saintifik, (ISESCO); Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO) dan Pertubuhan Jurutera Malaysia (IEM).

Turut hadir ialah Pengarah Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI) Prof Dato’ Dr Kamaruzzaman Sopian; Dr Abdelmajid Tribak, dari Pertubuhan Pendidikan dan Kebudayaan Islam Saintifik, (ISESCO); Dr Osman Benchickh dari Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) dan Ir Fam Yew Hin dari Pertubuhan Jurutera Malaysia (IEM).

Peserta bengkel juga telah melawat Makmal Sel Tenaga Suria, Makmal Penyelidikan Sel Fuel, tapak Bangunan Suruhanjaya Tenaga Diamond dan Bangunan GreenTech Malaysia GEO.