Kanak-kanak Mangsa Yang Tidak Dapat Bersuara

ISNIN, 07 JULAI 2014 17:17

Oleh Shahfizal Musa
Foto Raai Osman

BANGI, 3 Julai 2014 – Kanak-kanak negara ini tidak menerima hak mendukung kepentingan mereka sebagaimana diperuntukan undang-undang kerana tahap menghormati hak kanak-kanak masih rendah di negara ini.

Suatu forum mengenai hak kanak-kanak yang berlangsung di Pesada Canselor di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini bersetuju banyak perkara perlu dilakukan untuk meningkatkan kesedaran terhadap hak kanak-kanak sebagaimana diperuntukan undang-undang negara.

Empat orang tokoh telah diberi ruang untuk memaparkan pandangan mereka terhadap isu yang dihadapi kanak-kanak dalam negara walaupun jelas dilindungi undang-undang sedia ada tetapi sering diabaikan.

Mereka terdiri dari Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UKM, Prof Datin Nor Aziah Mohd Awal; Puan Rosmaini Ahmad dari Jabatan Kebajikan Masyarakat; Dr Farah Nini Dusuki dari Suara Kanak-kanak (Voice of The Children) suatu badan NGO dan Superintendan Polis Ong Saw In. Bicara ini dipengerusikan oleh pengacara TV AlHijrah Wan Kamarudin Wan Ibrahim.

Ketika forum sedang berlangsung kelihatan ramai ibu bapa yang menghadiri forum itu resah dan sibuk menelefon anak-anak bertanyakan khabar kerana ahli panel mendedahkan butiran yang tidak selesa, berkemungkinan boleh menimpa anak-anak yang ditinggalkan bersendirian. Contohnya adik-beradik terbunuh akibat kebakaran kerana ibu bapa mengunci pintu gril apabila keluar untuk bekerja, kanak-kanak diculik kerana ibunya sedang sibuk memasak di dapur dan anak kecil mati lemas dalam baldi di bilik mandi.

Antara kejadian lain ialah bagaimana kepala seorang budak lelaki telah retak apabila dihempap ke dinding oleh bapa kandungnya sendiri manakala seorang bapa tiri pula telah mencekik anak tirinya hingga mati.

Ahli panel telah mempersoalkan perlakuan hukuman terhadap kanak-kanak yang tidak setimpal dengan apa yang mereka lakukan antaranya dihukum keras hanya kerana membuat bising manakala seorang lagi di hukum keras kerana tidak mahu masuk tidur.

Forum juga menimbulkan isu apabila kanak-kanak yang dibiarkan bersendirian dan masih belum boleh berdikari tanpa diperhatikan oleh orang dewasa.

Prof Nor Aziah seorang pakar perundangan kanak-kanak berkata undang-undang mengenai kanak-kanak memperuntukan bahawa mereka di bawah umur 18 tahun tidak boleh dibiarkan bersendirian tanpa pengawasan orang dewasa.

Ini bermaksud mereka tidak boleh keluar membeli-belah seorang diri ataupun dengan rakan sebaya.

Hakikatnya perlakuan ini dilanggar setiap hari termasuklah golongan professional seperti pensyarah dan profesor. Ini adalah kerana mereka perlu keluar bekerja dan tidak mempunyai masa untuk memastikan anak-anak mereka yang bawah umur berada dalam pengawasan orang dewasa.

Sudah menjadi perkara biasa kunci rumah bertukar tangan di antara adik-beradik yang pergi dan pulang dari sekolah. Mereka makan dan tinggal bersendirian dengan diawasi hanya oleh abang atau kakak yang juga berumur di bawah 18 tahun.

Satu lagi aspek undang-undang yang tidak dipatuhi adalah mengenai identiti kanak-kanak mangsa penderaan yang harus dirahsiakan. Namun dalam suatu kes baru-baru ini, wajah mangsa yang ditinggalkan sendirian dan disyaki didera terpampang di dada akhbar. Lebih mengejutkan lagi video mangsa telah dimuat naik dalam media sosial oleh pihak berkuasa yang menyelamatnya.

Wujud pula persoalan apakah menempatkan mangsa di rumah kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat adalah pilihan terbaik.

Wakil dari Jabatan Kebajikan Masyarakat Puan Rosmaini Ahmad berkata dalam kes-kes penderaan penempatan mangsa di rumah kendalian JKM adalah pilihan terakhir kerana rumah-rumah itu sentiasa sarat dengan penghuni.

JKM, katanya, berusaha mencari keluarga atau saudara-mara yang boleh memberi perhatian yang diperlukan kanak-kanak mangsa penderaan.

Dr Farah dari sebuah NGO, Suara Kanak-kanak, berkata agak sukar untuk menentukan kanak-kanak mempunyai pengawasan yang berterusan.

Anak perempuannya sendiri mengambil tiga bas bertukar-tukar tanpa pengawasan orang dewasa untuk pulang bercuti dari sebuah sekolah berasrama penuh. Dan kanak-kanak kurang upaya menghadapi masaalah yang lebih rumit lagi.

Beliau mencadangkan JKM mewujudkan sistem di mana kanak-kanak kelainan upaya di daftar secara automatik semasa di lahirkan atau apabila dikenal pasti. Ini boleh menentukan kanak-kanak demikian tidak tercicir dari mendapat hak yang disediakan kerajaan kepada mereka.

Dr Farah berkata Malaysia mempunyai undang-undang yang mencukupi untuk melindungi kanak-kanak tetapi masalahnya ialah penguatkuasaannya. Ini dikaitkan dengan cara berfikir dan kesedaran di kalangan masyarakat sendiri.

ASP Ong berkata dari rekodnya polis mendapati 70 peratus daripada penderaan ke atas kanak-kanak dilakukan ibu bapa, penjaga atau pengasuh. Sebabnya bersangkutan dengan tekanan kerja dan kewangan.

Wan kamarudin mengulas mengenai kes terbaru di mana seorang kanak-kanak kurang upaya ditemui dalam keadaan amat menyedihkan oleh pihak imegresen.

Berdasarkan fakta yang ada, berkemungkinan ibu anak itu tidak mempunyai pilihan melainkan meninggalkannya keseorangan kerana dia terpaksa bekerja untuk mencari rezeki, tetapi kutukan yang dilemparkan ke atasnya di media sosial seolah-olah dia telah disabitkan atas suatu jenayah kejam.

Forum itu tidak dapat membincangkan peranan majikan dalam kes penderaan kanak-kanak kerana kesuntukan masa tetapi melahirkan pandangan bahawa majikan turut terlibat secara tidak langsung kerana menjadi punca kepada banyak tekanan yang ditanggung oleh ibu bapa disebabkan bebanan kerja yang berat dan dibayar gaji yang sedikit.

Turut hadir pada perbincangan itu ialah Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali dan orang ramai.