Kerjasama Tenaga Lestari Antara UKM Dan Ecuador

SABTU, 19 JULAI 2014 07:22

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 16 Julai 2014 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan negara Amerika Selatan Ecuador akan bekerjasama dalam penyelidikan dan inovasi bagi menghasilkan tenaga lestari dan tenaga yang boleh diperbaharui.

Satu memorandum persefahaman (MoU) mengenainya telah di tandatangani di sini hari ini oleh Naib Canselor UKM Profesor Datuk Dr Noor Azlan Ghazali dan Duta Besar Ecuador ke Malaysia Lourdes Puma Puma  yang mewakili urusetia negaranya bagi Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi.

Majlis itu disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Prof Ir Dr Riza Atiq Abdullah OK Rahmat; Pengarah Institut Penyelidikan Tenaga Suria Prof Dato’ Dr Kamaruzzaman Sopian dan Pengarah Pusat Hubungan Antarabangsa UKM Prof Dr Imran Ho Abdullah.

Turut hadir Duta dan wakil Chile, Argentina, Venezuela dan Cuba. Dekan Fakulti Sains dan Teknologi UKM Prof Dr Sahrim Ahmad dan Timbalan Dekan Fakulti Kejuruteraan Prof Ir Dr Salina Abdul Samad juga hadir di upacara itu.

Prof Noor Azlan berkata memorandum itu membolehkan kedua-dua negara bekerjasama membangun dan memperolehi pengetahuan mengenai tenaga lestari, terutamanya suria, angin dan tenaga dari sel bahan api hidrogen.

Negara terlibat juga akan bertukar penyelidik dan siswazah bidang tenaga lestari untuk melakukan penyelidikan di UKM dan di Ecuador di mana calon cemerlang akan diberi biasiswa.

Prof Noor Azlan berharap perjanjian itu akan menjadi titik permulaan kerjasama saintifik dan inovasi yang akan merentasi disiplin lain seperti ekonomi dan pengurusan perniagaan.

Lourdes berkata negaranya amat berminat terhadap penyelidikan yang memanfaatkan tenaga suria dan angin yang dijalankan di UKM dan menawar kemudahan untuk melakukan penyelidikan seumpamanya di Ecuador.

Ecuador telah pun menawarkan UKM menyertai projek pendidikan dengan institusi penyelidikan di bandar berwawasan baharu, Yachay. Tawaran itu di buat oleh Menteri Luar Negeri dan Mobiliti Manusia, Ricardo Patiño yang kagum dengan pencapaian UKM semas lawatan pada tahun lalu.

Lourdes berkata Yachay dirancang menjadi Lembah Silikon Amerika Selatan dan “Pusat Penyelidikan Ilmu” yang menggabungkan Pendidikan dengan Industri untuk menggalakkan inovasi di samping menyediakan penginapan yang selesa untuk pekerja berpengetahuan.

Yachay adalah perkataan bahasa Quechua, atau Inca yang bermaksud “penggunaan pengetahuan dengan bijaksana”. Presiden Ecuador Rafael Correa mahu Yachay membangunkan universiti terbaik di Amerika Latin, yang akan memberi tumpuan kepada teknologi baru dalam bidang sains, perubatan, telekomunikasi, cybernetics, nano-teknologi dan botani.

Dengan Malaysia dan Ecuador mempunyai ciri-ciri geografi dan iklim yang sama, pengalaman yang dikongsi amat sesuai untuk penyelidikan dan penggunaan tenaga lestari seperti suria dan angin, kata Lourdes.