Minyak Wintergreen Lebih Selamat Daripada Xylene Untuk Penyediaan Slaid

JUMAAT, 04 JULAI 2014 00:00

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto  Shahiddan Saidi

BANGI, 2 Julai 2014 – Minyak Wintergreen, sejenis pati herba yang mengandungi sebatian yang digunakan untuk membuat ubat asprin didapati lebih selamat dan bersih daripada pelarut Xylene bagi pekerja yang menyedia dan meletakkan spesimen atas slaid di makmal perubatan atau biologi.

Sekumpulan pelajar perubatan tahun akhir Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengesyorkan minyak wintergreen digunakan setelah mereka mendapati ia lebih selamat dan mesra alam daripada xylene. Kajian mereka itu dilakukan di Jabatan Parasitologi, Fakulti Perubatan.

Ketua kumpulan penyelidik itu Koay Jiah Bou berkata amalan biasa adalah untuk pelajar dan kakitangan makmal menggunakan xylene sebagai ejen pembersihan apabila spesimen telur nyamuk atau lain-lain serangga diletakkan ke slaid untuk kajian dan simpanan.

Koay memberitahu Portal Berita UKM pada Mesyuarat Tahunan Penyelidikan Saintifik Mahasiswa Perubatan (MUASRM) 2014 di Kuala Lumpur bulan lalu bahawa analisis mereka menunjukkan minyak wintergreen bukan sahaja lebih selamat kepada manusia bahkan ia juga memelihara spesimen dalam slaid dengan lebih baik daripada xylene.

Xylene, sejenis hidrokarbon aromatik, digunakan sebagai pelarut dalam aplikasi bahan kimia atau pembersihan sampel organik untuk pengawetan. Ia juga racun apabila dihidu dan merbahaya kepada kulit orang yang menggunakannya untuk pelekap spesimen pada slaid.

Ia digunakan di makmal untuk menyejukkan bekas reaksi bersama karbon dioksida pepejal dan sebagai pelarut untuk mengeluarkan minyak rendaman sintetik daripada kanta objektif mikroskop dalam mikroskop cahaya.

Bagi kajian histologi, xylene adalah ejen pembersihan yang paling kerap digunakan. Xylene digunakan untuk membuang parafin daripada slaid mikroskop kering sebelum pewarnaan. Selepas pewarnaan, slaid mikroskop dimasukkan ke dalam xylene dan ditutup dengan “coverslip”.

Walau bagaimanapun Koay berkata perbandingan antara xylene dan minyak wintergreen menunjukkan perlakuan pengecutan spesimen yang di pasang dalam slaid berkurangan bagi minyak wintergreen dibandingkan dengan spesimen yang menggunakan xylene. Oleh itu, saiz asal ulat atau lain-lain spesimen telur serangga boleh dikekalkan dengan lebih baik apabila menggunakan minyak wintergreen.

Lebih penting untuk pelajar dan penyelidik yang bekerja di makmal, minyak wintergreen tidak mengakibatkan barah atau merosakkan kulit seperti xylene. Tambahan pula minyak wintergreen lebih mudah dan selamat dilupuskan berbanding xylene.

Koay dan penyelidik pelajar lain sedar mengenai ciri-ciri minyak wintergreen sebagai penawar.

Minyak Wintergreen adalah ekstrak dari daun wintergreen yang mengandungi bahan kimia seperti aspirin yang boleh mengurangkan kesakitan, bengkak dan demam. Aspirin digunakan untuk merawat kesakitan sederhana dan untuk mengurangkan demam atau keradangan.

Tumbuhan Wintergreen adalah suatu herba dan minyaknya diperbuat apabila daun wintergreen direndam air panas dan di hangatkan sehingga menjadi stim. Daun dan minyak digunakan untuk membuat ubat.

Daun Wintergreen digunakan untuk melegakan keadaan sakit termasuk sakit kepala, sakit saraf, artritis, sakit pangkal rahim, dan senggugut. Ia juga digunakan untuk masalah penghadaman termasuk sakit perut dan gas (angin); keadaan paru-paru termasuk asma dan radang selaput dada; kesakitan dan bengkak (inflamasi); demam dan masalah buah pinggang.

Sesetengah orang menggunakannya untuk menambahkan cecair perut dan memperbaiki penghadaman.

Daun Wintergreen juga boleh digosokkan secara langsung pada kulit untuk mengubati sakit sendi, sakit otot dan sakit pinggang.