Orang Islam Dan Kepelbagaian Budaya Di Britain

KHAMIS, 17 JULAI 2014 08:08

Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto Izwan Azman

BANGI, 16 Julai 2014 – Rakyat Britain percaya identiti mereka semakin terancam kerana kemasukan pelbagai bangsa khususnya orang Islam yang menetap di sana hingga tidak lagi boleh menerima kewujudan kepelbagaian bangsa dan kelas.

Peristiwa 911 menyebabkan kerajaan Barat termasuk kerajaan British serta media mereka terang-terangan menimbulkan kesangsian dan perasaan takut terhadap Islam khususnya puak pelampau penganut Islam.

Seorang ahli akademik dari Institut Pengajian Tinggi Markfield (MIHE) di Leicester Britain Dr Ataullah Siddiqui menyatakan demikian dalam ceramahnya bertajuk “Orang Islam dan Kepelbagaian Budaya: Pengalaman Seorang British” di sini baru-baru ini. Ceramahnya itu dianjurkan oleh Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau berkata kerajaan negara-negara Barat menyalahkan peningkatan imigrasi orang Islam serta kedegilan mereka tidak mahu mengikut cara hidup Barat hingga membawa kepada masalah tidak ada pekerjaan, pelanggaran hak asasi dan peningkatan kejadian jenayah. Penambahan ketara mereka juga di tohmah hingga menyebabkan kepelbagaian masyarakat dan keadaan yang cemas.

Dr Ataullah berkata pihak pendatang mempunyai dua pilihan: mengekalkan corak hidup dan tradisi budaya mereka atau meninggalkan warisan budaya mereka dengan menyerap corak hidup setempat dan berintegrasi dengan penduduk asal di situ.

Beliau mengandaikan dua corak hidup berbeda itu seperti sup dan salad.

Corak sup adalah memasak semua ramuannya supaya berintegrasi di mana adat resam, agama, kepercayaan, nilai dan identiti sendiri disisih dan dicampurkan sehingga ciri-ciri asal seperti tradisi, budaya atau bangsa tidak lagi wujud, manakala salad pula mengekalkan kepelbagaian budaya di mana semua bahagian ramuan dan campurannya masih mengekalkan sifat semulajadinya.

Dr Ataullah menyebut ucapan Perdana Menteri Britain David Cameron di Berlin pada Februari 2011 yang mengaitkan umat Islam dengan pengganas dan merujuk kepada sifat mahu mempertahankan kehendak Islam hingga membawa kepada penyingkiran kepelbagaian budaya.

Cameron dengan terbuka menyatakan bahawa dunia perlu berwaspada bukan sahaja terhadap keganasan yang dibawa oleh pengganas berani mati tetapi juga perlu berhati-hati dengan golongan yang membawa kepada pemikiran dan ideologi ekstremis Islam hingga menyatakan bahawa Islam adalah punca keganasan dan punca matinya kepelbagaian budaya.

Perdana Menteri British itu juga mentohmahkan bahawa umat Islam membawa nilai, kepercayaan dan adat resam yang ekstrim, beracun dan tidak harus dibenarkan untuk diamalkan secara bebas tanpa pengawasan, kata Dr Ataullah.

Pemimpin Barat lain juga menyalahkan pelbagai masalah yang mereka hadapi seperti pengangguran, pencabulan hak asasi manusia, imigrasi dan jenayah ke atas orang Islam.

Mereka mendakwa kedegilan orang Islam tidak mahu mengikut corak dan cara hidup Barat telah menyebabkan terlalu banyak kepelbagaian dan kepercayaan budaya yang boleh menyebabkan huru-hara dan mungkin akan menenggelamkan “sifat British” atau “sifat barat” dalam negara mereka sendiri.

Cameron juga percaya umat Islam telah menggalakkan pelbagai budaya yang berbeza untuk hidup secara berasingan.

Dr Ataullah berkata Cameron telah mencadangkan orang Islam di Britain diuji melalui empat kaedah dengan mengisytiharkan mereka bersetuju menjadi sebahagian daripada negara yang mereka sendiri pilih untuk menetap selain menunjukkan mereka tidak ekstremis:

Apakah mereka percaya dengan kehendak hak asasi manusia sejagat termasuk untuk wanita dan bagi orang yang beragama lain? Apakah mereka percaya kepada kesaksamaan semua di sisi undang-undang? Adakah mereka percaya kepada demokrasi dan kuasa orang ramai untuk memilih kerajaan mereka sendiri? Apakah mereka menggalakkan integrasi atau perpecahan?

Dr Ataullah berkata kiranya mereka bersetuju dengan ke semua syarat itu mereka tidak akan di ganggu tetapi mereka yang tidak bersetuju perlu belajar menerimanya secepat mungkin bagi mengelak wujudnya terlalu banyak kepelbagaian budaya. Cameron dengan itu mematikan sifat keunikan individu untuk memilih corak hidup sendiri.

Beliau berkata negara Barat cenderung untuk lupa bahawa umat Islam juga adalah dari pelbagai kumpulan etnik, bahasa dan budaya. Mereka juga terdiri dari Sunni dan Syiah dan ini menjadikan masyarakat Islam berbeza, walaupun dalam amalan agama yang sama. Bagaimanapun umat Islam melihatnya sebagai persaudaraan dalam Islam,” kata Dr Ataullah.

“Orang Islam menerima dan menghargai semua bangsa dan kelas, kerana mereka melihat kepada iman. Bagaimanapun ini sudah menjadi masalah kepada masyarakat Barat yang tidak dapat menerima kepelbagaian budaya selain daripada budaya mereka dan tidak boleh menerima bahawa agama menyatukan bukan memecahkan sesuatu kumpulan manusia,” tambah Dr Ataullah.

Dr Ataullah menyebut bahawa identiti adalah kunci untuk sesuatu anggota masyarakat tetapi di Britain sejak beberapa tahun kebelakangan ini mereka merasakan bahawa sifat British mereka hampir lupus kerana limpahan pendatang antarabangsa ke Britain.

Kebanyakan masyarakat Islam di Britain berasal dari negara  Timur Tengah dan Asia dan kini generasi ketiga dan keempat menghadapi krisis identiti. Mereka bukannya orang Inggeris tetapi oleh kerana telah dibesarkan di England mereka telah kehilangan sebahagian besar daripada ciri dan sifat sebagai orang yang berasal dari Timur Tengah atau Asia hingga tidak boleh digolongkan dalam mana-mana kumpulan.

Integrasi ini telah melihat anak-anak dari kumpulan keturunan Timur Tengah dan Asia yang erat beragama, dibesarkan menjadi seorang Eropah yang berpemikiran moden serta tidak lagi berpegang kepada budaya, tradisi atau bahasa ibunda mereka.

Dr Ataullah percaya bahawa kepelbagaian budaya masih wujud dan perlu diteruskan supaya nilai, kepercayaan, agama dan warisan budaya rakyat Islam dapat dikekalkan.

Beliau melihat usaha integrasi akan membawa kepada orang Islam kehilangan identiti dan sifat tradisi mereka, iaitu suatu tindakan yang melanggar secara langsung hak asasi manusia untuk bebas mengamalkan kepercayaan masing-masing.