OUM Serahkan Bantuan Zakat Untuk Pesakit PPUKM

ISNIN, 14 JULAI 2014 16:02
Oleh Shahfizal Musa 
Foto Shahiddan Saidi

KUALA LUMPUR, 10 Julai 2014 – Sebuah badan sukarelawan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), SAHABAT UKM hari ini menerima wang Zakat berjumlah RM300,000 dari Open Universiti Malaysia (OUM) untuk membantu pesakitnya mendapat rawatan susulan.

SAHABAT UKM adalah sebuah badan sukarela yang ditubuhkan oleh PPUKM untuk membantu pesakit di PPUKM untuk terus dapat menerima rawatan walaupun tidak mampu.

Wang itu telah diserahkan oleh Canselor OUM, Tun Jeanne Abdullah kepada Pengerusi SAHABAT Puan Sri Eveline Anuwar.

Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali bercakap di majlis itu berkata orang ramai kadang kala lupa terdapat ramai orang yang menghadapi masalah untuk menanggung kos rawatan perubatan mereka.

UKM melalui SAHABAT berhasrat memastikan setiap pesakitnya mempunyai peluang yang sama untuk mendapat rawatan pemulihan berterusan yang mereka perlukan.

Ini melibatkan peralatan sokongan atau alatan yang diperlukan seperti kerusi roda mahupun implan bagi pembedahan.

Terdapat pesakit yang memerlukan rawatan susulan untuk memastikan pemulihan yang menyeluruh tetapi malangnya tidak mampu membiayai kos mendapatkan rawatan itu. SAHABAT dapat menolong mereka menerima rawatan demikian.

Tun Jeanne berkata dalam mengejar kejayaan, terdapat segelintir masyarakat yang memerlukan bantuan tetapi dilupakan. SAHABAT menyeru sektor korporat serta orang yang berkemampuan terus menyumbang walaupun bayaran yang dikenakan PPUKM adalah rendah tetapi kos rawatan susulan yang diperlukan membebankan.

Turut hadir pada majlis itu Naib Canselor OUM Prof Emiritus Tan Sri Anuwar Ali dan Pengarah PPUKM Prof Dato’ Dr Raymond Azman Ali.