Pakar Ekonomi: Kesatuan Perbankan Di Eropah Tidak Menggalakkan Pembaharuan

KHAMIS, 31 JULAI 2014 09:33

Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Muhamad Ikhwan Zulhimi (pelatih UiTM)

BANGI, 24 Julai 2014 – Cadangan Bank Pusat Eropah untuk menubuhkan Kesatuan Perbankan di Kesatuan Eropah (EU) pada Januari 2015 nanti berisiko tinggi kerana ia boleh digunakan untuk memberi bantuan kecemasan kepada bank pusat negara-negara ahli – suatu perkara yang tidak harus dilakukan.

Seorang pakar ekonomi dari University London, Profesor Dr John Driffill berkata langkah itu mungkin baik jika pengawasan dipertingkatkan, peraturan diseragamkan dan wujud gerakan ke arah pasaran dan perkhidmatan kewangan tunggal.

Bagaimanapun melihat pada apa yang berlaku semasa krisis kewangan tahun 2008, beliau bimbang bahawa kesatuan perbankan demikian mungkin memaksa ECB untuk menjadi pemberi pinjaman muktamad untuk negara anggota yang ekonomi mereka merosot dan memerlukan bantuan kewangan segera.

Prof Driffill telah berucap mengenai Kesatuan Perbankan: Lebih Baik Daripada Dijangka? anjuran Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini. Beliau khuatir negara anggota yang kurang berada akan terlalu mengharapkan ECB untuk menampung kelemahan bank pusat mereka.

Prof Driffill dari Jabatan Ekonomi, Matematik dan Statistik, Birkbeck, University London menegaskan bahawa ECB kini adalah pemiutang terbesar banyak bank lemah dan telah menerima sejumlah besar aset berkualiti rendah sebagai cagaran untuk mengeluarkan hampir 80 peratus daripada asas kewangan EU kepada bank enam buah negara yang ditimpa krisis: Greece, Ireland, Portugal, Sepanyol, Itali dan Cyprus. Bantuan itu merupakan satu pertiga daripada KDNK negara-negara EU.

Terdapat banyak kritikan bahawa ECB tidak akan mencapai matlamat untuk menyatupadukan sistem perbankan EU terutamanya kerana pertambahan birokrasi dan dana yang agak kecil iaitu €55 billion untuk tujuan tersebut.

Beliau menyorot kepada bantuan kecemasan kepada Greece pada tahun 2008 pun menelan belanja €173 billion dan masih tidak mencukupi. ECB, katanya, memerlukan sekurang-kurangnya €1 trillion untuk tujuan itu. (€1 = RM4.27).

Prof Driffill menerangkan beliau masih ingat dengan beberapa cadangan serupa pada masa lalu bagi menyelaras dan menyatukan sistem kewangan Eropah.

“Berapa kali kita berada di sini sebelum ini? Terdapat skim sebelumnya dengan cita-cita yang tinggi – mata wang Euro, sebagai contoh – mempunyai kesan yang tidak dijangka. Beliau berkata konsep kesatuan perbankan akan berubah jika hasrat itu dilaksanakan.

Beliau berkata tidak ada insentif untuk negara-negara EU yang kurang berada untuk melakukan reformasi ekonomi mereka apabila mengetahui bahawa mereka akan mendapat bantuan kecemasan untuk menyelamatkan bank-bank pusat mereka.

Terdapat kemungkinan krisis kewangan akan menjadi lebih kerap dan serius kerana bank akan kurang berhati-hati dan membuat pelaburan amat berisiko kerana mereka merasa bahawa ECB akan sentiasa berada di-sisi mereka untuk menghulur bantuan jika berlaku sebarang masalah, katanya.

Penggabungan bank-bank pada tahun 2008, kata Prof Driffill  telah menjadikan masalah itu lebih serius kerana EU tidak akan abaikan bank-bank yang sudah bertapak menjadi muflis.

Cadangan EU untuk kesatuan perbankan telah mencapai kemajuan yang mengejutkan, walaupun terdapat keraguan meluas dan tentangan dari sesetengah pihak yang berpengaruh.

Prof Driffill adalah seorang pakar dalam makroekonomi antarabangsa dan ekonomi buruh. Beliau bersama Lars Calmfors mencipta hipotesis Calmfors-Driffill, yang menyatakan bahawa terdapat hubungan yang tidak linear antara tahap perundingan kolektif dalam ekonomi dengan tahap pengangguran.

Secara khusus, beliau mengandaikan hubungan tersebut secara kasarnya sebagai sebuah ‘U terbalik’: di mana saiz peningkatan kesatuan sekerja dari sifar mempunyai kaitan dengan peningkatan pengangguran.

Ceramah Prof Driffill itu dianjurkan oleh Pusat Pengajian Oksidental (IKON IKMAS di bawah program kajian Eropah yang sedang dibangunkan. Turut hadir Timbalan Pengarah IKMAS Prof Dr Tham Siew Yean dan Felo Kanan masing-masing Prof Madya Dr Zarina Othman, Dr Sumit K Mandal dan Dr Jaroslaw Suchoples.