Persidangan Saintis Masa Depan di PERMATApintar UKM

JUMAAT, 04 JULAI 2014 07:39

Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto Raai Osman

BANGI, 26 Jun 2014 – Pelajar terpilih dari sembilan buah sekolah telah menyertai Persidangan Ahli Sains Masa Depan di Pusat PERMATApintar Negara yang berakhir di sini hari ini untuk memberi peluang pelajar mengasah kebolehan mereka.

Persidangan tiga hari itu dianjurkan oleh Pusat PERMATApintar Negara untuk menyediakan peluang bagi anak muda berbakat didedahkan kepada idea dan skop kajian baru dengan menjalankan penyelidikan saintifik yang lebih mendalam.

Persidangan itu telah menghimpunkan pelajar cemerlang dari seluruh negara dengan tujuan untuk memberi ruang kepada mereka menggunakan kebolehan kreativiti, imaginasi dan inovasi mereka dalam bidang penyelidikan saintifik.

Mereka dipilih dari sembilan sekolah terpilih iaitu lapan MRSM yang terdiri dari MRSM-MRSM Taiping, Perak; Balik Pulau, Pulau Pinang; Gemencheh, Negeri Sembilan; Batu Pahat, Johor; Kuala Terengganu, Terengganu; Tawau, Sabah; Mukah, Sarawak dan Alor Gajah, Melaka serta Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor dan Pusat PERMATApintar Negara.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Prof Ir Dr Riza Atiq Abdullah OK Rahmat berkata persidangan itu mengalu-alukan pelajar Sekolah Menengah membentang dan berkongsi idea, penyelidikan, pengalaman penyelidikan dan fokus kajian mereka.

Ia juga bertujuan untuk menggilap bakat dan kemahiran pelajar dalam penyelidikan saintifik dan mendedahkan mereka kepada pembelajaran sains di peringkat universiti.

Prof Riza Atiq telah menyatakan kekagumannya terhadap pencapaian salah seorang pelajar yang menyertai persidangan itu tahun lalu yang telah berjaya menerbitkan hasil kerjanya dalam sebuah jurnal antarabangsa.

Beliau juga kagum dengan bakat luar biasa dan pencapaian anak muda yang telah mencapai begitu banyak kejayaan dalam jangka masa yang singkat.

Prof Riza Atiq mengingatkan peserta persidangan itu bahawa tidak semua kanak-kanak bernasib baik seperti mereka yang terpilih belajar di sekolah elit dan didedahkan kepada acara dan program tertentu untuk menggilap pengetahuan dan kemahiran mereka.

Terdapat sekolah-sekolah lain yang menghadapi pelbagai kekurangan kemudahan, termasuk guru dan sumber di mana pelajarnya perlu berkerja lebih keras untuk membuktikan mereka boleh mecapai kejayaan dengan sumber dan kemudahan yang terhad.

Mereka ini juga perlu menghadapi skop pembelajaran yang terhad dan kepercayaan tidak seberapa walaupun dari guru sendiri terhadap kebolehan mereka.

Terdapat pula masalah di mana guru-guru menganggap pelajar yang nakal dan memberi masalah sebagai budak jahat, teruk atau bodoh tetapi sebenarnya semua ini adalah satu bentuk kecerdasan dan ketajaman pemikiran.

Beliau menyebut kisah “Ikan Todak Menyerang Singapura” di mana kepintaran seorang anak muda telah meyelamatkan Singapura dari serangan beratus-ratus ikan todak.

Bagaimanapun kepintaran dan kecergasan mindanya tidak disukai penasihat Raja hingga menghasut Raja bahawa budak itu akan menjadi satu ancaman terhadap takhta jika dibenarkan untuk hidup dan membesar.

Beliau juga menyebut kisah adik-beradik Wright yang menjalankan perusahaan percetakan dan membaiki basikal serta tidak pernah menerima latihan formal dalam bidang sains tetapi telah berjaya mencapai impian manusia untuk terbang.

Prof Riza Atiq menyatakan kedua-dua cerita itu adalah contoh kreativiti di luar usaha formal di mana tidak semua lulusan pengajian tinggi mampu memberi jawapan kepada semua masalah setiap masa. Ia menunjukkan perlunya semangat, kesungguhan dan kreativiti seseorang untuk mencapai kejayaan.

“Kebijakasanaan adalah memikirkan sesuatu dengan cara lain, melakukan perkara-perkara yang belum pernah dilakukan oleh sesiapa dan tidak takut untuk gagal, kata Prof Riza Atiq.

Turut hadir di upacara itu ialah Timbalan Pengarah Pusat PERMATAPintar Negara Prof Madya Dr Mohd Arif Ismail.