UKM Usahakan Kerjasama Dengan Industri Di Sekitarnya

ISNIN, 21 JULAI 2014 16:29

Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 19 Julai 2014 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan berusaha untuk mengadakan kerjasama strategik dengan pelbagai syarikat yang beroperasi di kawasan industri Bangi.

Ini adalah rumusan yang dipersetujui berikutan suatu perbincangan meja bulat Perkongsian Strategik UKM dengan Industri Untuk Pembangunan Bakat, Penyelidikan dan Kerjasama yang diadakan dengan empat syarikat terkemuka yang beroperasi di sini baru-baru ini.

Empat syarikat yang dijemput untuk membincang perkongsian dan kerjasama itu adalah; SAPURA, Permanis, DENSO (M) dan HITACHI Electronics.

Naib Canselor Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali sedih kurangnya hubungan UKM dengan pelbagai industri yang beroperasi di kawasan sekitarnya di Bangi dan berharap usaha diwujudkan untuk memperbaiki keadaan itu.

Timbalan-timbalan Naib Canselor Prof Dato’ Dr Saran Kaur Gill (Hal-Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat) dan Prof Ir Dr Riza Atiq Abdullah OK Rahmat (Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa) telah menghadiri perbincangan itu selain dari dekan fakulti, ketua jabatan dan pengarah institut.

Mereka telah membincangkan kemungkinan perkongsian penyelidikan dan perkongsian kemudahan antara UKM dan pihak industri.

Prof Noor Azlan berkata UKM telah menandatangani banyak Memorandum Persefahaman (MoU) dengan universiti-universiti di Jepun, Indonesia, Jerman dan Korea serta telah menjalinkan hubungan baik dengan jabatan-jabatan kerajaan yang telah memberi banyak manfaat kepadanya hingga mencapai kemajuan yang hebat.

Beliau bagaimanapun sedih kerana kelihatan seolah-olah ia telah mengabaikan jiran-jirannya hingga menyatakan bahawa walaupun Bangi mempunyai pelbagai institusi pendidikan tinggi serta pelbagai syarikat tetapi malangnya tidak dapat mewujudkan hubungan yang berkesan.

Keadaan demikian itu perlu diperbetulkan melalui kerjasama antara UKM dan industri perlu dirancang dengan sewajarnya.

Naib Presiden Kanan Syarikat Permanis Encik Renganathan a/l Tewagudan, berkata syarikatnya menerima ramai pelajar UKM untuk latihan industri selain mengambil graduan UKM sebagai pekerjanya dan telah lama mahukan peluang untuk bertemu muka dengan pengurusan UKM.

Permanis telah pun menjalin kerjasama secara tidak rasmi dengan UKM terutamanya Fakulti Sains dan Teknologi (FST) dengan menggunakan kemudahan penyelidikan dan makmalnya.

Beliau berkata Permanis tidak mempunyai pusat Penyelidikan dan Pembangunan yang besar kerana 90% daripada produknya di bangun dan diluluskan oleh syarikat induknya Pepsi Cola Antarabangsa di Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun baru-baru ini, ia telah membangunkan produknya sendiri dengan mengeluarkan minuman yang mempunyai rasa tempatan dan ingin bekerjasama dengan UKM untuk menyelidik produk baru demikian.

Renganathan berkata Permanis juga ingin bekerjasama dengan Fakulti Kejuruteraan Alam Bina (FKAB) untuk mendapatkan alat kejuruteraan dari Institut Penyelidikan Tenaga Suria untuk mendapatkan kepakaran penggunaan teknologi hijau dan kawalan pencemaran.

Beliau berharap kerjasama mereka dapat menyumbang kepada usaha memenuhi tanggungjawab sosial korporat mereka kepada masyarakat Bangi.

Permanis katanya, bersedia untuk menerima lebih ramai pelajar UKM untuk latihan industri kerana amat berpuas hati dengan kualiti pelajar UKM serta graduannya yang ramai diambil bekerja di syarikat itu.

Hitachi, Denso dan Sapura turut menyampaikan profil syarikat mereka dan menggariskan saluran pilihan mereka untuk bekerjasama dengan UKM serta tujuannya.

Prof Noor Azlan berkata perbincangan itu adalah suatu permulaan bagi UKM yang berhajat meneruskannya dengan syarikat-syarikat lain di Bangi bagi menjalin hubungan kukuh dengan mereka di atas landasan rasmi.