Ancaman Semakin Teruk Kepada Kesihatan Akibat Pembakaran Terbuka

SELASA, 17 JUN 2014 16:24

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 13 Jun 2014 – Pembakaran biojisim yang berleluasa dan tidak terkawal di negara ini semakin menjejaskan kesihatan berjuta manusia akibat terdedah kepada risiko penyakit pernafasan seperti asma dan bronkitis.

Profesor Dr Mastura Mahmud dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) berkata risiko kepada kesihatan akan sampai kepada tahap genting kerana penambahan penduduk menyebabkan kawasan hutan sengaja dibakar untuk tujuan bercucuk tanam dan mendirikan tempat kediaman.

Ketika menyampaikan syarahan perdana beliau bertajuk Pencemaran Rentas Sempadan – Penjejakan melalui Deria Jarak Jauh, di sini hari ini.  Prof Mastura berkata jerebu merentas sempadan daripada aktiviti pembakaran biojisim adalah masalah serantau Asia Tenggara yang berulang-kali berlaku pada musim kebakaran.

Prof Mastura menjelaskan satu lagi impak daripada pembakaran terbuka ini terhadap atmosfera ialah perubahan iklim kerana penggunaan gas aerosol serta pelbagai gas rumah hijau dan gas toksik.

Pengeluaran gas rumah hijau bukan sahaja mengancam persekitaran tetapi juga iklim yang sedang mengalami perubahan pada tahap serantau atau global.

Katanya satelit penderiaan jarak jauh adalah suatu kaedah yang dapat memantau dan memeta bukan sahaja asap dan pencemaran udara bahkan titik panas pada sesuatu hari. Ia juga dapat mengumpul maklumat terhadap kawasan yang berjerebu malah tentang jumlah gas aerosol yang berkait dengan aktiviti kebakaran.

Bagaimanapun beliau khuatir bahawa tekanan hidup penduduk-penduduk miskin yang tidak mampu menggunakan kaedah mesra alam untuk pembakaran merumitkan masalah pencemaran walaupun terdapat teknologi satelit untuk pemantauan dan pencerapan.

Beliau mengesyorkan hubungan baik antara negara jiran dijalin supaya kerjasama dapat diperoleh untuk mengurangkan pembakaran terbuka yang berleluasa terutama dalam keadaan perubahan iklim akan datang.

Pengawasan, pengawalan dan penyelenggaraan daripada pihak berkuasa atau agensi kerajaan di negara masing-masing harus dilaksanakan di samping pekebun mendapat tunjuk ajar dan bantuan dengan insentif agar tidak melakukan pembakaran terbuka.

Kajian mengenai ciri dan corak kebakaran bertumpu menunjukkan kecenderungan para petani membakar dengan hebat dan berkelompok berhampiran satu sama lain.

Keadaan iklim persekitaran Khatulistiwa kadangkala tidak mampu menampung kegiatan kebakaran yang terlalu panas dan berleluasa kerana ciri iklim seperti bayu darat dan laut, angin pasat yang lemah, kewujudan taufan serta muka bumi di benua kelautan Asia Tenggara mempengaruhi sebaran asap yang tebal terutama tanah gambut.

Selain itu, pencemaran udara daripada habuk halus umpamanya zarah halus dan gas yang membahayakan kesihatan penduduk serantau di samping pengeluaran gas rumah hijau bukan sahaja mengancam persekitaran tetapi juga iklim yang sedang mengalami perubahan pada tahap serantau dan global.

Turut hadir pada syarahan perdana ini ialah Naib Canselor Prof Dato’ Dr Noor Azlan Ghazali yang juga menyampaikan pidato pengenalan mengenai Prof Mastura, Timbalan Naib Canselor Prof Dato’ Dr Saran Kaur Gill dan Dekan FSSK Prof Dr Hazita Azman.

Prof Mastura lulus ijazah Sarjana Muda Meteorologi dan Fizik dari University of Reading di UK. Seterusnya beliau meneruskan pengajian Masters bagi Klimatologi Gunaan di University of Birmingham dan kemudian meneruskan pengajian PhD dalam Meteorologi Tropika di institusi yang sama.