Bagaimana Mewujudkan Keluarga Mithali Yang Bahagia

RABU, 11 JUN 2014 07:40

Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 10 Jun 2014 – Usaha untuk mewujudkan sebuah keluarga mithali bergantung kepada pemahaman terhadap falsafah dan konsep perkahwinan dengan dipandukan kepada niat dan amalan yang baik serta iman yang kuat.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Datin Noor Aziah Mohd Awal berkata demikian dalam ceramahnya bertajuk “Melahirkan Keluarga Mithali melalui Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam” dalam program Bicara Sakinah.

Bicara Sakinah itu adalah sebahagian daripada “Temasya Muamalah Islam Sempena Program Dakwah Negara 2014”, anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang telah dilangsungkan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini.

Program itu telah dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Rohani Abdul Karim.

Prof Noor Aziah berkata pembinaan keluarga bahagia, mulia, penyayang dan bersatu harus bermula di landasan betul kerana terdapat banyak cabaran dan halangan yang akan dihadapi oleh pasangan di sepanjang perjalanan perkahwinan mereka.

Beliau berkata kehidupan berkeluarga tidak harus menjadi seperti suatu bebanan atau bahagian yang tidak perlu dalam hidup, ia sepatutnya memberi kesan positif kepada pasangan.

Al-Quran menyatakan bahawa, mempunyai keluarga adalah untuk mendapat keamanan dan ketenangan dalam kehidupan seseorang serta keseimbangan emosi dan mental.

“Bagaimana hendak mewujudkan sesuatu keluarga bahagia kiranya ia dimulakan dengan cara yang salah? Satu unit keluarga mulia, penyayang dan bersatu tidak bermula dengan kehamilan sebelum berkahwin. Ia tidak boleh bermula dengan kekerasan atau paksaan. Ia paling pasti tidak harus bermula dalam dosa, jenayah atau kemalangan,” kata Prof Noor Aziah.

Undang-undang di Malaysia menetapkan dengan jelas bahawa keluarga ditentukan sebagai suami, isteri dan anak-anak berpandukan kepada undang-undang Syariah.

Membina keluarga bahagia tidak mudah kerana terdapat banyak cabaran dan halangan yang akan dihadapi. Itulah sebabnya ia perlu dimulakan dengan cara yang betul.

Mengulas cara cinta moden yang diamalkan belia pada hari ini, Prof Noor Aziah berkata rasa kasih sayang dan cinta serta sifat romantik tidak harus wujud sebelum perkahwinan sahaja di mana setelah tidak berapa lama selepas perkahwinan, semua perasaan kasih sayang dan cinta akan hilang.

“Kalau sebelum kahwin, telefon, SMS, email tak henti–henti. Kalau satu hari tak jumpa badan tidak selesa. Sebelum kahwin si lelaki berikan bunga dan hadiah, hantar ke sana sini dan bayar untuk cinta hatinya pergi membeli-belah. Tetapi setelah memasuki tahun ke tiga perkahwinan nak pandang muka dah meluat dan sudah tak tahan duduk sebumbung lagi. Di mana perginya cinta dan kasih sayang itu?”

Maka tidak menghairankan kenapa berlaku pada purata tiga kes perceraian bagi setiap jam di kalangan pasangan Islam di negara ini mengikut statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi tahun 2011, katanya.

Purata 70 kes perceraian dilaporkan setiap hari dengan 2,000 kes dilaporkan setiap bulan dan 25,000 kes setahun di seluruh Malaysia bagi tahun 2011.

Prof Noor Aziah berkata keadaan demikian berlaku dan menjadi semakin teruk kerana pasangan suami isteri selepas tiga tahun berkahwin baru sedar mereka sebenarnya tidak mempunyai persamaan atau persefahaman. Paling serius adalah mereka baru sedar bahawa selama itu mereka salah faham atau tidak faham langsung mengenai falsafah dan konsep perkahwinan yang sebenarnya.

Beliau menggesa rakyat melengkapkan diri dengan pengetahuan yang lebih baik dan mendalam mengenai agama dan bagaimana untuk menguruskan rumah tangga sebelum membuat keputusan untuk berkahwin. Ini akan mengurangkan bilangan kes penceraian dengan drastik dan dapat membentuk keluarga bahagia.

“Pastikan anda benar-benar tahu apa yang anda lakukan. Perkahwinan bukan satu permainan, anda perlu mengambil perhatian yang serius. Perkahwinan bukan sahaja untuk mengijabkabulkan dua individu tetapi adalah untuk mengabungkan dua keluarga dan menjalinkan silaturrahim.

“Dan apabila penceraian berlaku ia bukan sahaja menjejaskan kehidupan pasangan terbabit tetapi akan juga merosakkan hubungan dua keluarga”, tambah beliau lagi.

Prof Noor Aziah menerangkan bagaimana Al-Quran amat jelas dengan undang-undang Keluarga Syariah di mana hakim mahkamah Syariah akan merujuk kepadanya untuk membuat keputusan terhadap sesuatu kes yang dikemukan dengan sewajarnya.

Beliau juga menasihati ibu bapa supaya lebih berhati-hati dalam pertuturan mereka kerana setiap apa yang disebutkan oleh ibu bapa kepada anak mereka adalah satu doa.

“Berjaga-jagalah dengan kata-kata yang dikeluarkan samada semasa marah, sedih ataupun semasa gembira kerana ia juga boleh membawa kepada beberapa kejadian yang berbeza, kata Prof Noor Aziah.