GST Dijangka Boleh Menjana RM8 Billion Hasil Tambahan

SELASA, 03 JUN 2014 08:32

Oleh Athirah Abdul Aziz
Foto Abd Ra’ai Osman

BANGI, 30 Mei 2014 – Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebenarnya bukanlah suatu cukai baru tetapi adalah kaedah cukai yang diperbaharui dan disempurnakan hingga dijangka dapat menjana penambahan sejumlah RM8 bilion kepada pendapatan negara.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir Haji Hamim Samuri berkata GST akan digunakan untuk memungut cukai yang kerajaan telah gagal menerima daripada transaksi perniagaan antara pengguna dan peruncit, pemborong, dan pengeluar.

Berucap di acara Majlis Anugerah Pelajar dan Malam Amal Kolej Keris Mas, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Datuk Hamim berkata GST dan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) merupakan antara langkah kerajaan untuk menjana pendapatan lebih kepada negara.

Beliau berkata Malaysia adalah negara ketiga di Asia, selepas  Hong Kong dan Singapura, yang banyak bergantung kepada perdagangan antarabangsa untuk menjana pendapatan negara. Pada tahun lalu, hampir RM1.4 trilion pendapatan negara di perolehi daripada perdagangan antarabangsa dan eksport.

Walau bagaimanapun, mulai tahun hadapan Skim Keistimewaan Teritlak (GSP) bagi barangan eksport Malaysia ke Kesatuan Eropah dan Kanada akan dimansuhkan kerana Malaysia telah menjadi sebuah negara yang hampir maju. Ketiadaan keistimewaan ini akan mengakibatkan cukai yang lebih tinggi dikenakan ke atas barangan yang negara-negara itu impot dari Malaysia.

Beliau berkata TPPA akan diberi pertimbangan yang sewajarnya dengan mengambil kira perkara seperti kedaulatan negara. Ini bermakna rakyat Malaysia tidak perlu bimbang kerana hal itu akan diberi perhatian serius sebelum perjanjian itu di tandatangani. Jika negara-negara yang menganggotai TPPA seperti Australia, New Zealand, Brunei dan Vietnam bersetuju dengan syarat yang dikenakan oleh Malaysia, ia akan mendapat peluang untuk menerima keistimewaan GSP dari negara-negara TPPA.

Datuk Hamim telah menyampaikan penjelasan mengenai GST dan TPPA itu bagi pihak Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan dengan harapan rakyat boleh melihat kedua usaha kerajaan untuk menjana pendapatan yang lebih kepada negara melalui kaedah yang lebih rasional dengan pandangan terbuka.

Beliau memuji pelajar kolej kediaman Keris Mas kerana memiliki ciri-ciri keupayaan untuk berfikir secara rasional dan menjalankan penyelidikan yang berasaskan fakta. Pelajar universiti, katanya, mesti berupaya untuk menonjolkan kebolehan memasarkan diri mereka dalam bentuk kemahiran berfikir secara kreatif kerana kemahiran demikian boleh membantu mewujudkan impak untuk pembangunan negara.

Acara yang bertemakan “Magical Winter Wonderland: Hati Lukisan Malam, Realiti Sebagai Mimpi Yang Indah” telah berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) di mana anak-anak yatim daripada Rumah Amal Limpahan Kasih  menjadi tetamu khas.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Profesor Datin Noor Aziah Haji Mohd Awal, Pengetua Kolej Keris Mas, Dr Ruslin Amir dan Timbalannya, Haji Ishak Abdul Rahman.

Acara ditaja oleh Kementerian Kewangan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi, Les’ Copaque Production Sdn Bhd, Qaira Hijab Malaysia Online Store, Samihah Closet, Kedai Pakaian Padieka Raccolta, Arif Bakar Creative Design dan ByFatinSuhana Online Store.