Indonesia Berminat Menerajui ASEAN Bersepadu

ISNIN, 23 JUN 2014 15:51

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Izwan Azman dan Shahiddan Saidi

BANGI, 19 Jun 2014 – Indonesia sedia menerajui rantau ini jika ASEAN mahu menyerlah apabila Komuniti Ekonomi ASEAN dibentuk menjelang tahun 2015.

Gabenor Sulawesi Selatan (Sulsel) Dr Shahrul Yasin Limpo berkata Indonesia sudah pun mempunyai ciri-ciri yang menunjukkan ia boleh memegang tampuk kepimpinan ASEAN selepas era kegemilangan ekonomi Cina berlalu.

Beliau telah menyampaikan syarahan utamanya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini atas tajuk Kepimpinan Indonesia: Prospek dan Peranannya dalam Komuniti ASEAN. Pengenalan mengenainya telah disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Prof Ir Dr Riza Atiq OK Rahmat.

Syahrul Yasin berkata Indonesia mengatasi anggota lain ASEAN dalam prestasi ekonomi dan mampu merangka strategi untuk menjadikan rantau ini sebagai penjana ekonomi Asia bahkan juga dunia.

Indonesia katanya mendahului negara-negara ASEAN lain dari segi keluaran dalam negara kasar (KDNK) mencapai US$834.6 billion. Ia diikuti Thailand dengan US$318.8 billion, Singapura US$266.5billion dan Malaysia US$247.6 billion.

Beliau menerangkan bahawa pertumbuhan pesat ekonomi Indonesia berpunca daripada kejayaan provinsi Sulsel yang membekal hasil minyak dan gas serta perlombongan batu mar-mar.

Sulsel juga memiliki kawasan bercucuk tanam yang subur dan Syahrul Yasin mengalu-alukan pelabur dari Malaysia menjadi rakan kongsi perusahaan dan perniagaan pertanian di sana, khasnya bagi pengeluaran buah-buahan.

Beliau menerangkan bahawa Sulsel mencatat pertumbuhan 8.65% mengatasi pertumbuhan keseluruhan ekonomi Indonesia pada kadar 6%.

Syahrul Yasin adalah dalam rangka lawatan ke Malaysia mengetuai delegasi perniagaan Sulsel dan telah mengunjungi Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak di Putrajaya sebelum menyampaikan syarahannya itu.

Syarahan itu dianjurkan oleh Ikatan Mahasiswa Sulawesi Selatan Indonesia Malaysia (IMSSIMA) bertujuan memberi keterangan lanjut mengenai provinsi itu serta peluang pelaburan dan perniagaan yang wujud.

Beliau menyeru siswazah UKM dari Sulsel untuk kembali ke tanah air selepas tamat pengajian kerana terdapat banyak peluang pekerjaan di sana jika mereka mampu berusaha dengan gigih dan sabar untuk menunggu hasil daya usaha mereka menjadi nyata.

“Ya, saya tahu di Malaysia boleh dapat gaji lebih daripada Indonesia, tetapi perusahaan di sana menunggu mereka. Profesor dan doktor, ayuh kembali selepas pengajian bagi menjayakan lagi ekonomi”, katanya.

Beliau berkat, ASEAN akan mengintegrasikan ekonominya mulai tahun 2015 dan semua negara anggota perlu menyumbang kepada perancangan untuk mengurangkan halangan perdagangan.

“Itu yang kami mahukan – perniagaan tanpa sempadan selepas tahun 2015. Kami akan cuba untuk melibatkan rakyat ASEAN dalam proses ke arah integrasi ASEAN yang lebih baik”, tambah beliau lagi.

Dasar-dasar komuniti ASEAN menyaksikan perubahan pendekatan ASEAN daripada kemesraan negara kepada keadaan yang lebih mesra rakyat. Beliau turut menggesa semua negara ASEAN berinteraksi, stabil dan lebih mesra dalam hubungan sesama negara bagi merancakkan ekonomi dan menarik pelabur.

Tiga cabang utama bakal dibentuk di bawah konsep itu iaitu Komuniti Politik-Keselamatan, Komuniti Ekonomi dan Komuniti Sosiobudaya dengan moto Satu Wawasan, Satu Identiti, Satu Komuniti.

Syahrul Yasin adalah gabenor Sulawesi Selatan yang pertama dipilih secara langsung. Sebelum menjadi gabenor, beliau berkhidmat sebagai datuk bandar Gowa selama dua penggal. Selepas itu beliau dilantik timbalan gabenor sebelum memenangi pilihan raya untuk menjadi gabenor.

ASEAN dianggotai 10 negara anggota iaitu Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, Brunei, Vietnam, Laos, Myanmar dan Kemboja.