Jurufoto UKM Berikan Kursus Fotografi Percuma Kepada Belia

KHAMIS, 26 JUN 2014 16:19

Oleh Shahfizal Musa
Foto Ikhwan Hashim

PULAU PANGKOR, 16 Jun 2014 – Seramai lebih daripada 30 orang belia dari Perak telah menyertai suatu kursus fotografi percuma yang ditawarkan oleh seorang jurugambar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Program percuma itu dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan Perak Tengah (JBS), dengan kerjasama UKM, Majlis Belia Perak Tengah, Persatuan Belia Taman Teknologi Seri Iskandar (PTS) dan Persatuan Alumni Institut Kemahiran Belia Negara Peretak (IKBN) .

Ia dikendalikan oleh ketua jurufoto Pusat Komunikasi Korporat (PKK) UKM Abd Raai Osman.

Program itu bertujuan meningkatkan minat belia dalam bidang fotografi dan juga melatih mereka untuk menghasilkan imej yang baik dan berkualiti. Ia dijalankan untuk memberi manfaat kepada belia dan pada masa yang sama meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap UKM.

Abd Raai berkata setiap warga UKM berhasrat untuk  menyumbang kepada masyarakat kerana ia amat rapat di hati mereka hingga ramai lagi kakitangan bukan akademik UKM  telah memberi khidmat kepada masyarakat dengan cara mereka sendiri.