Kampus UKM Langkawi Menyumbang Kepada Kemajuan Negeri Kedah

RABU, 11 JUN 2014 15:19

Oleh Athirah Abdul Aziz (Pelatih UiTM )
Foto Muhammad Izwan Azman

BANGI, 11 Jun 2014 – Kampus Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang juga Pusat Penyelidikannya di Langkawi telah membantu pembangunan negeri Kedah.

Menteri Besar Kedah Dato’ Seri Mukhriz Tun Mahathir memuji UKM kerana mengadakan kampusnya di situ ketika berucap sebagai tetamu kehormat di acara Malam Anugerah Pelajar Kolej Tun Hussein Onn yang ke-17 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) di sini baru-baru ini. Majlis itu dianjurkan oleh pelajar kolej itu.

Mukhriz berkata kerajaan negeri mengalu-alukan kesediaan UKM untuk menyumbang kepada kemajuan negeri Kedah kerana ia agak terpencil daripada pembangunan arus perdana. Sumbangan demikian boleh membantu Kedah berkembang untuk berada setanding dengan negeri-negeri lain yang lebih maju di negara ini.

Beliau mengucapkan tahniah kepada UKM kerana diamanahkan gelaran  ‘Pendaulat  Amanah Bangsa’ dan memujinya kerana menghargai tokoh-tokoh negara sebelum ini dengan menamakan dua bangunannya dengan nama dua mantan perdana menteri iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak dan Allahyarham Tun Hussein Onn.

Mukhriz berkata acara pelajar seperti yang dihadirinya itu boleh membantu memperkukuhkan lagi hubungan baik antara kerajaan dan pelajar selain membolehkan kedua pihak bertukar pendapat untuk saling memahami antara satu sama lain.

Interaksi antara kedua belah pihak boleh meningkatkan pemahaman yang lebih baik dan mendedahkan pelajar terhadap perkara dan perkembangan yang berlaku dalam negara. Pelajar juga boleh menyumbang idea untuk menangani isu dan masalah yang berlaku di peringkat kebangsaan.

Naib Canselor Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali telah hadir di majlis itu serta juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Datin Noor Aziah Mohd Awal, Pengetua Kolej Tun Hussein Onn, Prof Madya Dr Samsul Adabi Mamat dan Naib Pengetua, Zie Fazleen Hashim.