Kesabaran dan Ilmu Perlu Untuk Menjadi Kaunselor

KHAMIS, 05 JUN 2014 07:54

Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto Abd Ra’ai Osman

BANGI, 30 Mei 2014 – Seseorang yang ingin menjadi kaunselor perlu memiliki kesabaran bila menemui pelanggan serta rajin membaca untuk mengetahui perkembangan terkini.

Enam orang yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang itu telah berkongsi pengalaman mereka sebagai kaunselor dalam satu forum bertajuk “Isu, Etika dan Perundangan dalam Kaunseling” di sini minggu lalu.

Mereka telah berbincang mengenai dugaan yang mereka hadapi dan alami yang mungkin juga akan dihadapi pelajar bidang itu apabila menjadi kaunselor kelak.

Forum itu telah dianjurkan oleh Pelajar Sarjana Sains Sosial dari Jabatan Psikologi Kaunseling, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Mereka terdiri dari Haji Norazman bin Amat, Hafizi bin Harun, Azah Yasmin binti Yusof Ali, Normaliza binti Mahadi, Shahida binti Musa dan Dr Nasruddin bin Subhi, pensyarah dari Jabatan Psikologi Kaunseling FSSK bertindak sebagai moderator.

Mereka menjelaskan bahawa masih terdapat stigma tidak baik terhadap kaunseling di Malaysia hinggakan rakyat Malaysia masih tidak mempercayai fungsi kaunseling dan enggan pula mencubanya.

Norazman seorang veteran yang telah berkecimpung dalam kerjaya itu selama 15 tahun dan kini bertugas sebagai Ketua Eksekutif di Pusat Kaunseling Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) telah berkongsi pengalamannya sebagai kaunselor.

Beliau menerangkan bagaimana ketika baru memulakan kerjayanya sebagai pelatih beliau, datang seorang lelaki tua. Waktu pejabat sudah tamat ketika lelaki tua itu masuk ke pejabat hendak menemui seorang kaunselor.

“Saya mengenalkan diri saya sebagai seorang kaunselor dan bertanya apa yang boleh saya bantu. Dia memandang serong terhadap saya seolah tidak percaya dan bertanya jika saya sudah berkhawin.

“Pada masa itu saya belum berkahwin jadi saya katalah belum. Pakcik itu terus menggeleng kepalanya dan meminta saya panggil kaunselor lain, yang sudah berkahwin. Bagi pakcik itu, masalah hanya boleh diceritakan, difahami dan diselesaikan oleh kaunselor yang sudah berkahwin,” kata Norazman.

Beliau menceritakan bagaimana dia mengambil masa untuk memujuk pakcik itu bersetuju untuk meluahkan masalahnya kepada kaunselor muda yang belum berkahwin. Akhirnya, pakcik itu telah meluahkan masalahnya. Apa yang boleh dipelajari dari keadaan itu, adalah kesabaran dan ketekunan.

Norazman berkata sebagai kaunselor, mereka akan menghadapi keadaaan di mana pelanggan akan menganggap seseorang kaunselor itu terlalu muda, terlalu tua atau tidak berpengalaman dalam hidup untuk membantu mereka yang menghadapi masalah tertentu, jadi mereka akan menolak kaunselor itu.

Kunci kepada kaunselor yang baik adalah kesabaran dan ketekunan apabila berhadapan dengan pelanggan. Orang yang memerlukan khidmat nasihat harus dibenarkan berasa selesa dan dipujuk secara perlahan-lahan untuk menambat hati mereka, supaya mereka meluahkan masalah yang mereka hadapi.

Kaunselor akan berjaya hanya apabila diterima orang yang memerlukan khidmat nasihat dan sanggup meluahkan isi hati mereka, kata Norazman.


Azah Yasmin, pengasas dan Pengarah BRIGHT Consulting, berpengalaman menjadi hos rancangan di TV3 dan kaunselor berdaftar, berkata kaunselor mesti tahu jenis pelanggan yang mereka temui supaya dapat menyesuaikan diri dengan pelanggan, bukannya pelanggan yang perlu menyesuaikan diri mereka dengan kaunselor.

Mereka harus penerangan untuk mempercayai seseorang kaunselor selain perlu mengetahui kerjaya orang yang memerlukan khidmat nasihat itu.

Seorang kaunselor juga harus membiasakan diri dengan jenis kerjaya pelanggan mereka supaya ruang fikiran mereka dapat dibaca, kata Azah Yasmin.

Beliau menceritakan pengalamannya memberi kaunseling kepada dua orang doktor, sepasang suami isteri, yang menghadapi masalah perkahwinan hingga beliau terpaksa membaca buku-buku perubatan dan yang berkaitan dengannya untuk benar-benar memahami pelanggannya.

Ahli panel yang lain juga telah menghuraikan cabaran yang mereka hadapi di mana walaupun kerjaya kaunseling telah wujud di Malaysia selama lebih 40 tahun, ia masih mempunyai imej yang tidak selesa.

Rakyat Malaysia masih percaya bahawa seseorang akan menemui kaunselor hanya kiranya dia tidak siuman.

Sememangnya telah wujud cabang perubatan kaunseling psikiatri, bagi mereka yang menghadapi penyakit mental, tidak stabil atau jenayah tidak siuman, tetapi terdapat juga kaunseling bagi orang-orang yang mempunyai perasaan kebimbangan, mempunyai masalah keluarga atau yang berkaitan dengan tekanan kerjaya mereka.

Setiap pelanggan perlu ditangani dengan berhati-hati lebih-lebih lagi yang beranggapan kaunseling adalah satu skim palsu hingga pelanggan tidak mahu berterus terang menceritakan hal-hal peribadi apabila memerlukan kaunseling.

Ada juga mereka yang tidak percaya untuk membayar wang hanya mahu “bercakap tentang perkara-perkara peribadi”.

Oleh itu panel berpendapat pelajar yang mahu terlibat dengan kerjaya itu perlu berhati-hati dan bersabar kerana mereka akan menghadapi pelanggan yang tidak mahu membayar untuk perkhidmatan mereka.

Dr Nasruddin berharap para pelajar telah banyak belajar daripada forum itu.