Pasukan SUKSIS UKM Dilengkapi Senjata Pertahankan Diri

RABU, 04 JUN 2014 12:32

Oleh Abd Ra’ai Osman
Foto Abd Ra’ai Osman

BANGI, 29 Mei 2014 – Seramai 40 orang anggota Kadet Polis Universiti Kebangsaan Malaysia (SUKSIS) menerima sijil Pasukan Elite T-Baton dalam satu majlis tamat latihan di Dataran Pusanika UKM, di sini minggu lalu.

Sijil telah disampaikan oleh Naib Canselor Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali yang juga Komandan SUKSIS kepada mereka di majlis itu.

Pasukan SUKSIS UKM itu telah melakukan pertunjukkan kemahiran mempertahankan diri dan bagaimana mematahkan kejadian ragut menggunakan senjata T-Baton di majlis itu.

Mereka sebelumnya telah menjalani latihan penggunaan senjata mempertahankan diri itu selama 40 jam di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang.

Prof Noor Azlan berbangga dengan pencapaian pasukan itu hingga mahir menggunakan alat T-Baton dengan harapan mereka dapat membantu menjaga keselamatan masyarakat kampus yang berjumlah lebih daripada 31,000 orang.