Pelajar Baru ASASIpintar UKM Didaftar

ISNIN, 09 JUN 2014 11:52

Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 9 Jun 2014 – Seramai 108 orang pelajar baru telah mendaftar untuk mengikuti program ASASIpintar bagi sesi pengajian 2014-2015 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) minggu lalu.

Mereka termasuk pelajar PERMATApintar serta pelajar dari sekolah lain yang semuanya telah mencapai keputusan 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kemudian disaring dalam sesi temuduga.

Timbalan Pengarah Pusat PERMATApintar Prof Madya Dr Mohd Arif Ismail mengalu-alukan mereka di upacara Lafaz Ikrar sebagai warga Pusat PERMATApintar UKM.

Sambil mengucapkan tahniah kepada mereka, beliau berkata mereka harus berasa bertuah kerana terpilih menyertai program itu. Ia diikuti dengan semua pelajar itu melafaz ikrar mereka.

Dalam ucapannya Dr Mohd Arif telah menghuraikan secara ringkas usaha pejuang nasionalis negara 100 tahun lalu untuk menubuhkan UKM bagi memenuhi aspirasi rakyat dengan warga UKM berjuang dengan gigih untuk memastikan universiti ini terus maju dan sehebat universiti lain.

Kini UKM telah menghasilkan kira-kira 164 000 graduan yang berjaya menyumbang bakti kepada Negara hingga ke persada dunia.

Beliau memaklumkan UKM kini menerajui banyak bidang penyelidikan yang khusus dan terkenal kerana pencapaian akademik yang tinggi dan program kemasyarakatannya yang disanjungi serta berterusan.

“Inilah sebabnya mengapa Program PERMATApintar telah ditubuhkan di UKM kerana ia telah membuktikan dalam setiap aspek akademiknya ia berkebolehan, berinovatif dan bernilai hingga dipilih untuk memenuhi keperluan para pelajar PERMATApintar”, kata Dr Mohd Arif.

Beliau berharap sebagai pelajar UKM, pelajar ASASIpintar juga akan membantu meneruskan legasi UKM dengan terus berusaha untuk menjadi pelajar terbaik dalam bidang pengajian pilihan mereka.