Program Untuk Meningkatkan Minat Murid Terhadap Sains Dan Teknologi

KHAMIS, 12 JUN 2014 09:44

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi dan Saiful Bahri Kamaruddin

TROLAK, PERAK, 7 Jun 2014 – Murid sekolah harus berani memasuki jurusan sains dan teknologi kerana merekalah harapan negara untuk mewujudkan ekonomi yang berteraskan inovasi pada masa akan datang.

Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Mohamad Sattar Rasul berkata golongan muda hanya perlu menyahut seruan kerajaan kerana segala prasarana yang diperlukan untuknya telah disediakan.

Dr Sattar memberitahu Portal Berita UKM demikian selepas pelancaran perkhemahan Bitara STEM UKM-FELDA, suatu program khas kepada anak-anak peneroka FELDA berusia antara 13 hingga 15 tahun untuk menanam minat terhadap sains dan teknologi. Ia dilangsungkan dari 6 hingga 10 Jun di Maktab Rendah Sains MARA di sini.

Beliau yang juga penyelaras perkhemahan itu berkata UKM sendiri menjadi bukti kepada murid sekolah itu mengenai potensi anak Melayu bahawa mereka juga boleh berjaya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Seramai 70 orang mahasiswa UKM menjadi fasilitator dan 20 pensyarah bertindak sebagai mentor kepada pelajar-pelajar itu yang datang daripada semua rancangan FELDA.

Mereka didedahkan dengan pengalaman pembelajaran dan dibimbing membentuk alat dan prasarana bandar yang diperlukan untuk sesuatu Komuniti Pintar.

Ketika mencipta Komuniti Pintar itu mereka bukan hanya merancang bagaimana untuk menggunakan sistem tenaga terbaru tetapi perlu juga kreatif dan berinovatif merancang sistem pengangkutan dan prasarana bandar yang fleksibel, futuristik serta disesuaikan kepada keperluan dan spesifikasi semasa. Lingkaran persekitaran pintar ini kemudiannya perlu mereka lengkapi dengan jaringan komunikasi tanpa wayar.

Dr Sattar menerangkan di antara beberapa objektif Bitara STEM ialah menjadikan sumber manusia sebagai pemandu teknokrat sesuai dengan inisiatif negara.

Ia diharapkan dapat mencetuskan minat pelajar generasi baru untuk mempelajari STEM melalui pendekatan pembelajaran yang berpusatkan kepada pelajar, pembelajaran berasaskan projek, aktiviti multi-disiplin dan pembelajaran melalui pertanyaan.

Ia juga menyediakan suasana pembelajaran sains yang menyeronokkan bagi mengurangkan kerisauan serta menghapuskan perasaan takut terhadap STEM. Selain itu, ia diharap dapat meningkatkan kemahiran proses sains, kemahiran saintifik serta kemahiran berfikir lebih mendalam dan kemahiran penyelidikan di kalangan pelajar.

Program itu adalah suatu inisiatif Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (Global Science and Innovation Advisory Council – GSIAC) yang di pengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ia adalah salah satu daripada Program Berimpak Tinggi untuk meningkatkan kemampuan insan serta perancangan dari bayi ke kerjaya (Cradle to Career – C2C).

Untuk mencapai agenda C2C itu suatu Memorandum Perjanjian telah ditandatangani dalam bulan Sep 2013 antara UKM dengan New York Academy of Sciences (NYAS) dan Polytechnic Institute of New York University (NYU-Poly).

Program yang julung kali dianjurkan itu melibatkan Kementerian Pendidikan, Kumpulan Industri Teknologi Tinggi Kerajaan (Malaysian Industry Government Group for High Technology – MIGHT), NYAS dan NYU-Poly.