Seminar Biokimia Antara Universiti Berlangsung Di UKM

ISNIN, 02 JUN 2014 14:56

Oleh Nurul Haziqah Abdul
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 28 Mei 2014 – Sembilan buah universiti tempatan termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengambil bahagian dalam seminar Biokimia Antara Universiti ke-25 di sini baru-baru ini.

Universiti itu ialah Universiti Management and Science (Shah Alam), Universiti Taylor Kampus Lakeside (Subang Jaya), Universiti Nottingham Malaysia Campus (Semenyih), Universiti Perubatan Antarabangsa (Bukit Jalil), Universiti Monash Malaysia (Sunway), Universiti UCSI (Kuala Lumpur), Universiti Tunku Abdul Rahman (Kampar) dan Universiti Putra Malaysia (Serdang) dan UKM.

Seramai 300 orang mahasiswa telah mengambil bahagian dalam seminar itu yang dianjurkan Kelab Biokimia Pusat Pengajian Biosains dan Bioteknologi, FST.

Timbalan Dekan Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Prof Dr Maslina Darus, dalam ucapan perasmiannya berkata seminar sains seperti itu adalah suatu platform baik untuk wacana saintifik selain memberi peluang kepada siswa untuk berinteraksi dan bekerjasama.

Ia juga memberi peluang kepada pelajar prasiswazah menyaksikan penyelidik dalam kalangan mereka yang berkumpul bersama untuk berkongsi penemuan projek penyelidikan tahun akhir mereka.

Seminar itu juga membolehkan mereka berinteraksi dan berkenalan sesama masyarakat pelajar sains sebagai suatu persediaan kepada pengajian sarjana mereka dengan memberi idea terhadap kajian yang mereka akan pilih selain bertemu bakal penyelia mereka.