Sisa Kilang Minyak Sawit Di Jadikan Makanan Ikan

ISNIN, 16 JUN 2014 07:39
Oleh Shahfizal Musa

Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 11 Jun 2014 – Suatu kajian mendapati sisa kilang minyak kelapa sawit (POME) boleh digunakan sebagai bahan makanan untuk ikan pemeliharaan yang jauh lebih murah daripada makanan ikan yang sedia ada di pasaran.

Penyelidikan oleh sekumpulan empat orang ahli sains Universiti Malaya (UM) mendapati makanan ikan itu yang diberi nama POME BAC adalah suatu bahan organik, kaya dengan protein, tiada keracunan, senang digunakan dan amat sesuai sebagai makanan ikan berharga tinggi.

Hasil kajian itu yang dibuat oleh Prof Dr Chong Ving Ching, Prof Dr Shaliza Ibrahim, Prof Dr Vikineswary Sabaratnam dan Dr Loo Poh Leong telah dibentangkan di Simposium Penyelidikan Akademik mengenai Kelestarian Minyak Sawit (ARPOS) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

ARPOS dianjurkan oleh UKM dan rakan kongsi industri untuk penyelidikan dalam kelestarian minyak sawit agar maklumat tidak mudah diputarbelitkan oleh pihak tertentu.

Simposium itu membentangkan penyelidikan mengenai kemampanan minyak sawit dengan dihadiri oleh wakil dari 13 buah universiti tempatan.

Makanan ikan dari sisa kelapa sawit itu adalah lebih murah daripada makanan ikan yang terdapat di pasaran sekarang lebih-lebih lagi kerana protein dan minyak ikan yang digunakan sebagai bahan makanan ikan kini amat berkurangan di dunia. Dengan itu POME boleh menjadi pesaing kepada makanan ikan yang ada.

Penemuan itu telah pun difailkan untuk mendapat paten di peringkat antarabangsa dan kebangsaan.

POME adalah hasil lebihan kilang minyak sawit yang boleh mencemarkan alam sekitar jika tidak dilupus dengan baik dan betul.

Sisa kelapa sawit inilah yang sering menjadi modal kritikan sesetengah pihak untuk menentang industri minyak sawit.

POME BAC didapati boleh menghasilkan ikan yang berkualiti tinggi dan boleh digunakan pada bila-bila masa, tidak seperti makanan akuakultur ikan sekarang yang tidak boleh diberikan kepada anak ikan yang belum mencapai umur tertentu.

Kos menghasilkan POME BAC juga jauh lebih rendah dari bahan makanan ikan yang berada di pasaran sekarang.

Ia kini berada dalam tempoh pra pengkomersilan dan dijangka dapat diedarkan ke pasaran menjelang 2016.

Turut hadir pada symposioum itu Tan Sri Dato’ Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin Ahli Majlis Pentadbir Yayasan Sime Darby, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Prof Dato’ Dr Saran Kaur Gill, penyelidik dan rakan kongsi industri universiti.