Tabung Pembangunan Masjid UKM Dilancar

SELASA, 03 JUN 2014 09:50

Oleh Abd Ra’ai bin Osman
Foto Abd Ra’ai bin Osman

BANGI, 29 Mei 2014 – Pusat Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah melancarkan Tabung Pembangunan Masjidnya untuk membangunkan prasarananya.

Ia dilancarkan oleh Naib Canselor Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali semasa Majlis Kesyukuran Sempena Ulang Tahun UKM Ke-44 di sini baru-baru ini.

Ia diadakan untuk memberi peluang kepada warga UKM berwakaf dengan dana yang dikumpul digunakan juga untuk mengadakan pelbagai aktiviti untuk keselesaan jemaahnya.

Berucap di majlis pelancaran tabung itu, Prof Noor Azlan berkata, UKM menerima cabaran yang cukup hebat pada awal penubuhannya dan telah banyak bergantung kepada tenaga kontrak dari negara luar seperti Indonesia.

Tetapi kini ia telah mampu mendidik rakyat dari negara jiran Malaysia itu dalam perbagai bidang pengajian.

Beliau berkata UKM akan terus berusaha untuk memenuhi kepentingan setiap pelajarnya dengan meningkatkan kualiti pengajaran, pembelajaran, penyelidikan, kemahasiswaan di semua peringkat dan fakulti sesuai dengan keperluan semasa.

UKM juga akan terus giat membuktikan kebolehannya yang berteraskan semangat kebangsaan. Hasilnya warga dan alumni  UKM telah mendapat pelbagai kepercayaan dan pengiktirafan baik bagi usaha akademik, penyelidikan atau khidmat masyarakatnya.

Warga UKM yang ingin menyumbang kepada tabung itu boleh berbuat demikian melalui peti-peti sumbangan yang disediakan di Masjid UKM atau di kaunter Jabatan Bendahari di aras bawah bangunan Canselori.

Majlis Kesyukuran Ulang Tahun Ke-44nya itu dipenuhi dengan bacaan surah Yasin, Tahlil kepada pejuang UKM yang telah kembali serta tazkirah ringkas oleh Pengarah Institut Islam Hadhari UKM Prof Datuk Dr Mohd Yusoff Othman.

Timbalan-timbalan Naib Canselor Prof Dr Ir Riza Atiq OK Rahmat (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Prof Datin Noor Aziah Mohd Awal (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Pendaftar Asmahan Musa, Bendahari Dato’ Hj Mohd. Abdul Rashid Mohd Fadzil, Ketua Pustakawan Hafsah Mohd serta pegawai kanan UKM lain turut hadir di majlis itu.