Tanam Pokok Acara Kemuncak Hari Alam Sekitar 2014

KHAMIS, 19 JUN 2014 16:24
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin

Foto Izwan Azman

DENGKIL, SELANGOR, 14 Jun 2014 – Kira-kira 200 anak pokok di tanam di Paya Indah Wetlands di sini hari ini dalam suatu Program Penghijauan Bumi sempena Hari Alam Sekitar Sedunia 2014.

Pokok-pokok yang ditanam mempunyai nama yang dikaitkan dengan nama bandar seperti Beruas (Garcinia hombroniana Pierre), Melembu (Pterocymbium javanicum), Bunga Tanjung (Mimusops elengi ), Mertajam (Lepisanthes rubiginosa) dan Sentul (Sandoricum koetjape).

Seramai lebih dari 300 orang staf dan pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta keluarga mereka telah mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti sempena hari itu termasuk kembara ekosistem, senamrobik, melukis muka dan peraduan fotografi antara lain.

Majlis itu dianjurkan bersama oleh Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), CANON Opto (Malaysia) Sdn Bhd, CANON Marketing Malaysia Sdn Bhd, Paya Indah Wetlands dan Jabatan Perhutanan Selangor.

Ia dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Industri dan Jaringan Masyarakat) Profesor Dato’ Dr Saran Kaur Gill yang turut serta menanam pokok bersama pengarah LESTARI  Prof Dr Mohd Raihan Taha, Felo Kanan Dato’ Shaharuddin Mohamad Ismail, Presiden Canon Marketing Wataru Nisioka dan Pengarah Urusan Canon Opto (Malaysia) Hiroshi Oshida.

Prof Saran Kaur melahirkan harapan program itu akan menjadi acara tahunan yang diusahakan dengan kerjasama agensi kerajaan yang berkaitan dan pihak swasta. Ia perlu diperkasakan dengan acara-acara yang teratur berasaskan pendidikan, penyelidikan dan kesukarelawanan.

Kerjasama antara LESTARI dan CANON telah berlangsung selama tiga tahun melalui beberapa program alam sekitar, seperti perayaan Hari Alam Sekitar 2012 di Taman Tasik Cempaka, Bandar Baru Bangi dan Pembersihan Taman Rekreasi Sungai Tekala di Hulu Langat pada tahun lalu.

Prof Saran menyedari pokok-pokok yang ditanam mempunyai nama yang dikaitkan dengan nama bandar berkata ia menunjukkan betapa pentingnya pokok atau hutan kepada sejarah dan penempatan penduduk di negara ini. Pokok bukan sahaja berperanan penting dalam alam sekitar tetapi juga memiliki khasiat perubatan.

Dato’  Shahruddin berkata program itu bertujuan membangkitkan kesedaran di kalangan kanak-kanak bahawa alam sekitar boleh dilindungi melalui penanaman pokok. Rakyat, katanya, perlu tahu bagaimana warisan alam boleh dikekalkan walaupun negara membangun dengan pesat.

Paya Indah Wetlands seluas ​​3,100 hektar dalam daerah Kuala Langat adalah suatu kawasan utama ​​ekopelancongan di Malaysia kira-kira 80 km dari Kuala Lumpur. Ia mempunyai banyak tarikan bagi aktiviti luar untuk seluruh keluarga dan sesuai untuk rekreasi seperti tapak perkelahan pada musim cuti sekolah.

Ia juga mempunyai haiwan seperti badak sungai yang gemar bersantai dalam tasik berpayanya dan buaya terbesar di semenanjung. Turut menjadi tarikan ialah pelbagai jenis burung sehingga 213 spesies yang biasa berlegar di airnya.