Tilawah Al Quran Antarabangsa Menggunakan Sistem Paparan Ciptaan UKM

ISNIN, 23 JUN 2014 12:15

Oleh Shahfizal Musa
Foto UKMP

KUALA LUMPUR, 23 Jun 2014 – Kepakaran yang digembleng Pakarunding Universiti Kebangsaan Malaysia (UKMP) telah membangunkan sistem paparan baru untuk pertandingan Tilawah Al-Quran Antarabangsa ke 56 yang berakhir di Pusat Dagangan Dunia Putra hujung minggu lalu.

Sistem paparan, digelar SpARQ telah dibangunkan oleh pakar-pakar dari Fakulti Pengajian Islam dan khidmat profesional teknologi maklumat dari UKMP, firma perundingan UKM.

Pakar dari Jabatan Al-Quran dan As-Sunnah diketuai oleh Prof Madya Dr Muhd Najib Abdul Kadir dengan disertai Prof Madya Dr Latifah  Abd Majid, Dr Sabri Mohamad dan Dr Wan Nasyrudin Wan Abdullah telah bertungkus lumus untuk menyiapkan bahan dalam masa singkat untuk Tilawah Al Quran itu.

Sistem itu telah dibangunkan untuk membantu urus setia pertandingan menyediakan paparan yang lebih tepat dan mudah untuk dibaca oleh penonton tilawah itu termasuk penonton di rumah melalui kaca tv mereka.

Timbalan Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) Ustaz Mohd As’ari bin Abdan, berkata terdapat dua isu yang SpARQ tangani.

“Pertama ialah teks yang digunakan adalah teks Uthmani, teks standad yang digunakan oleh Kerajaan Arab Saudi dan kedua ialah terjemahan al-Quran yang berasaskan terjemahan pimpinan Ar Rahman yang diluluskan oleh JAKIM”

Pengarah Pembangunan Perniagaan UKMP, Syamsul Amri Abd Razak berkata ini adalah sistem yang kedua dibangunkannya untuk membantu JAKIM dalam Tilawah Al Quran antarabangsa.

Beliau berkata sistem paparan itu menggunakan khat Uthman Taha yang diterima dan mudah untuk dibaca. Ia memastikan keseragaman dan mengelakkan kekeliruan.

Beliau berkata tahun lepas UKM telah mencipta sistem pengundian elektronik, di mana calon boleh memilih tarikh dan ayat yang mereka akan baca dengan hanya menyentuh skrin komputer.