Universiti Berpendirian Tegas Terhadap Perubahan Iklim

KHAMIS, 05 JUN 2014 16:39

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Abd Ra’ai Osman

BANGI, 5 Jun 2014 – Penyelidik dan ahli akademik dari tujuh buah negara bersetuju pendidikan tinggi berperanan penting menyediakan inovasi, mengubal dasar serta pembangunan dalam usaha menangani masalah rumit akibat perubahan iklim.

Oleh itu pihak universiti perlu memberi teguran yang tegas kepada kerajaan masing-masing mengenai ancaman perubahan iklim.

Mereka memberikan pandangan demikian pada persidangan satu hari ke lapan Perubahan Adaptasi Penyelidikan Cuaca dan Ekosistem (UN-CECAR) Bangsa-Bangsa Bersatu di sini Jumaat lalu.

Ia dianjurkan bersama oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Institut Universiti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Kajian Lanjutan Kelestarian (UMU-IAS).

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UKM Prof Dato’ Dr Mazlin Mokhtar, yang turut membentangkan kertasnya di persidangan itu berkata UKM sentiasa menyokong peranan utama akademik dalam membantu kerajaan untuk menangani masalah pemanasan global dan bagaimana untuk mengurangkan kesannya.

Beliau berkata beberapa modul mengenai kelestarian dan cara menanganinya telah berjaya dihasilkan melalui penyelidikan di UKM dan UN-CECAR. Prof Mazlin adalah seorang felo antarabangsa di UN-CECAR dan Pusat Penyelidikan Latihan PBB di Switzerland.

Dr Janette Lindesay dari The Australian National University (ANU) pula berkata taufan lebih dahsyat akan berlaku disebabkan perubahan iklim manakala udara dan laut pula akan menjadi semakin panas. Lebih daripada 80% daripada pemanasan berlaku dalam lautan bukannya di udara.

Dr Linesay berkata kebanyakan negara yang mengeluarkan sisa bahan api fosil telah terlepas dari sasaran pengurangan pencemaran udara, termasuk China, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah. Sejak tahun 2010 pelepasan daripada pembakaran bahan api fosil telah meningkat sebanyak 5.9% setiap tahun.

Beliau berkata lebihan haba dan air bermakna ruang atmosfera mempunyai lebih banyak tenaga dan ia akan menyebabkan kejadian ribut taufan yang lebih kerap dan kuat di kawasan tropika. Sebahagian besar pemanasan, mungkin sehingga 95%, adalah disebabkan oleh aktiviti manusia, katanya.

Pengetahuan mengenai kepelbagaian perubahan iklim adalah penting untuk memahaminya. Ciri-ciri purata jangka panjangnya serta kepelbagaian iklim dan proses serta fenomena yang mempengaruhinya perlu diketahui (termasuk El Nino dan Ayunan 10 tahun Lautan Pasifik).


Prof Dato’ Dr Sharifah Mastura Syed Abdullah Pengarah Institut Iklim (IKP-UKM) menimbulkan soal pengurangan tanah di Selangor akibat pembangunan di mana sehingga 10% daripada hutannya telah dimusnahkan dalam tempoh 22 tahun antara 1990 hingga 2012.

Beliau berkata penebangan hutan berlaku kerana perkembangan ekonomi dan pembangunan termasuk pertanian dan pembandaran bagi menampung kehendak penduduk yang semakin bertambah. Beliau bimbang dengan kemerosotan hutan yang masih berterusan.

Pengetahuan mengenai kemusnahan kawasan hutan dan faktor-faktor lain di Selangor amat penting kerana ia adalah asas bagi pengiraan jumlah stok karbon yang tinggal di atas tanah.

Sekitar 15 ahli akademik dan penyelidik membentangkan kertas penyelidikan mereka pada persidangan itu.

Ditubuhkan pada tahun 2009, UN-CECAR adalah rangkaian universiti dan institusi penyelidikan di rantau Asia-Pasifik dan Afrika yang terlibat secara aktif dalam penyelidikan dan pendidikan mengenai perubahan iklim dan perubahan ekosistem.