Majikan Lebih Pentingkan Kemahiran Insaniah Daripada Kecemerlangan Akademik

SELASA, 11 MAC 2014 14:26

Oleh Athirah Abdul Aziz, (Pelatih UiTM)
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 4 Mac 2014 – Majikan selalunya mencari pekerja yang mempunyai integriti yang tinggi, kemahiran berkomunikasi dan bersedia untuk bekerja dalam satu pasukan bukan hanya kepada kelayakan akademik semata-mata.

Walau pun graduan yang mencari pekerjaan mungkin mempunyai kelulusan akademik cemerlang tetapi majikan lebih cenderung untuk memilih mereka yang mempunyai kecekapan dan kemahiran berfikir.

Demikian kata penceramah motivasi Dr Ranjit Singh Malhi ketika memberi pandangannya di Persidangan Kepimpinan Belia Malaysia di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini,

Beliau berkata keputusan akademik yang cemerlang hanya boleh  menjamin mereka dipanggil untuk temuduga tetapi syarikat-syarikat akan mencari pekerja yang ikhlas dan jujur ​​mengenai cara mereka bekerja dan berurusan dengan rakan sekerja mereka.

Seseorang harus mempunyai keupayaan terdiri daripada ilmu pengetahuan dan kemahiran insaniah untuk dapat dipilih majikan yang kini lebih cenderung untuk menerima siswazah yang memiliki kemahiran insaniah yang baik berbanding dengan hanya mempunyai latar belakang akademik yang cemerlang sahaja, katanya.

Kelayakan akademik mungkin boleh menjamin graduan dipanggil untuk temuduga tetapi apa yang akan menjamin pemilihan oleh majikan ialah mempunyai ciri-ciri kemahiran insaniah yang baik.

Dr. Ranjit, Felo Kanan Korporat dari Asia E-University telah memberi pandangannya itu kepada pelajar universiti dan sekolah menengah di persidangan itu mengenai ciri-ciri yang majikan kini inginkan ketika melantik seseorang graduan untuk mana-mana kekosongan pekerjaan.

Beliau, pengarang buku-buku bertajuk Make Yourself Employable dan Your Dream Job berkata kemahiran insaniah amat diperlukan graduan yang mahu meningkatkan daya tarikan mereka terhadap majikan.

Kemahiran insaniah, katanya, terdiri daripada tiga unsur; keupayaan peribadi, kemahiran berfikir dan mempunyai ciri interpersonal yang baik. Integriti, pemikiran kritikal dan kualiti kepimpinan adalah tergolong dalam 15 ciri di bawah tiga unsur kemahiran insaniah itu.

Dr Ranjit berkata integriti adalah suatu sifat kemahiran insaniah yang paling dikehendaki majikan dari bakal pekerja mereka. Berdasarkan satu kajian, majikan lebih cenderung untuk memilih bakal pekerja yang jujur berbanding kualiti interpersonal yang lain.

Sifat kedua yang paling diingini majikan ialah kesanggupan graduan untuk belajar diikuti dengan kebolehan kemahiran komunikasi, tambah beliau.

Yang menghairankan ialah pandangannya bahawa kreativiti serta kualiti kepimpinan merupakan sifat yang tidak ditekankan sangat oleh majikan untuk mengambil graduan sebagai pekerja.

Persidangan itu dianjurkan berrsama oleh UKM dan Yayasan Pendidikan Cheras.