Pasukan Pelajar Undang-Undang Dari India Menjuarai Pertandingan Mahkamah Moot

RABU, 05 MAC 2014 07:49

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ra’ai Osman

BANGI , 2 Mac 2014 – Sekumpulan pelajar undang-undang dari West Bengal National University of Juridicial Sciences India muncul juara keseluruhan dalam pertandingan Mahkamah Moot Antarabangsa bagi rantau Asia-Pasifik.

Pertandingan yang dianjurkan oleh persatuan Pelajar Undang-undang Eropah (ELSA) itu menyaksikan pasukan pelajar undang-undang dari University of International Business and Economics dari Beijing, China menduduki tempat kedua.

Pertandingan akhir Mahkamah Moot ELSA ke-12 (EMC2) itu berakhir di sini hari ini. Ia dianjuran bersama oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan Malaysia (ILKAP).

Sejumlah 27 pasukan dari 11 buah negara mengambil bahagian termasuk Malaysia, Korea Selatan, China, India, Vietnam, Taiwan dan Australia.

Pertandingan itu yang bermula pada 27 Feb lalu dengan pasukan terbabit mengambil bahagian dalam prosiding mahkamah simulasi, yang melibatkan merangka taklimat (atau memorial) dan mengambil bahagian dalam hujah-hujah lisan bagi isu-isu perdagangan dunia.

Universiti dari West Bengal itu memenangi hadiah pertama dengan pasukan pidato dan pemidato individu terbaik dalam semua empat pusingan pertandingan.

Universiti dari Beijing yang menduduki tempat kedua memenangi pengadu terbaik, responden terbaik dan penghujahan bertulis terbaik.

Universiti Hong Kong berada di tangga ketiga manakala Bond University, Australia menerima anugerah semangat ELSA sebagai pasukan yang paling ceria meskipun dalam keadaan saingan hebat dan tertekan.

Kesemua empat pasukan melayakkan diri untuk pertandingan peringkat akhir antarabangsa mahkamah moot yang akan dilangsungkan di Geneva Switzerland di mana mereka akan bertemu pasukan dari Amerika Utara dan Selatan, Eropah dan Afrika.

Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Prof. Dr Riza Atiq Abdullah O.K. Rahmat; Pengarah IKLAP Lee Lay Choo; Dekan Fakulti Undang-Undang Prof Aishah Bidin dan Naib Presiden ELSA (mahkamah moot) Oda Linneberg Uggen .

Ketua perhubungan awam EMC2 Malaysia 2014, Lam Kian Yip berkata sambutan amat terbaik kali ini hinggakan semua 27 pasukan yang mengambil bahagian terpaksa melalui tiga pusingan sebelum sampai ke peringkat akhir.

Malangnya tidak ada pasukan dari Malaysia yang telah melayakkan diri ke perlawanan akhir.

ELSA menganjurkan pertandingan antarabangsa mahkamah moot itu dengan bantuan teknikal dari Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dalam usaha untuk memberi peluang kepada pelajar undang-undang untuk mendapat pengalaman amali dalam perdagangan dunia,.

Pertandingan antarabangsa mahkamah moot ELSA merupakan perbicaraan simulasi sistem penyelesaian pertikaian WTO. Para pelajar yang berminat dari seluruh dunia menghantarkan penghujahan bertulis untuk pengadu dan responden mengenai kes rekaan yang dicipta oleh anggota profesional WTO.

Selepas pusingan awal bertulis, pasukan terpilih diberi peluang untuk membentangkan penghujahan lisan mereka untuk kedua-dua pengadu dan responden di hadapan panel yang terdiri daripada pakar-pakar WTO dan undang-undang perdagangan.