Perubatan Moden Perlu Bekerjasama Dengan Pengamal Tradisional

SELASA, 25 MAC 2014 14:09

Oleh Athirah Abdul Aziz (Pelatih UiTM)
Foto  Ikhwan Hashim

BANGI, 18 Mac 2014 – Pengamal perubatan moden dan rawatan tradisional perlu berganding bahu untuk mencari penawar bagi beberapa penyakit.

Presiden Persatuan Produk Asli Malaysia Profesor Dr Ibrahim Jantan berkata doktor dan pengamal perubatan tradisional boleh menyelidik penggunaan produk asli dan herba untuk menghasilkan ubat-ubatan baru.

Berucap pada majlis pelancaran Persidangan Antarabangsa mengenai Produk Asli (ICNP) 2014 di sini hari ini, Prof Ibrahim yang juga pengerusi persidangan itu, berkata terdapat banyak peluang untuk penyelidikan dalam pelbagai bidang di mana kedua pengamal itu boleh berinteraksi, bekerjasama dan membentuk satu rangkaian untuk penemuan dan pembangunan ubat-ubatan herba.

Beliau berkata ICNP adalah suatu forum di mana penyelidik tempatan dan antarabangsa boleh membantu mengurangkan jurang antara rawatan budaya rakyat dan perubatan moden dengan pakatan minda saintifik.

ICNP 2014 adalah suatu aktiviti tahunan Persatuan Produk Asli (MNPS) Malaysia dan dianjurkan oleh Pusat Dadah dan Penyelidikan Herba, Fakulti Farmasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk mengadakan platform bagi ahli akademik, saintis, penyelidik dan pelajar pasca siswazah membincang produk asli.

Persidangan dua hari itu adalah acara tahunan ke-30 di bawah tajaan MNPS dengan tema Menggerakan Translasi Penyelidikan Produk Asli Kehadapan.

Prof Ibrahim berkata bagi kebanyakan orang Asia, tumbuhan herba adalah produk penting dalam pelbagai bidang rawatan tetapi persediaan herba itu masih belum mencapai tahap kualiti, keselamatan dan keberkesanan kerana hanya beberapa yang ditemui telah dikomersilkan untuk membentuk ubat baru.

Persidangan ini telah dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Hal Ehwal Antarabangsa), Prof Dr Riza Atiq Abdullah O.K. Rahmat.