Teliti Dahulu Sebelum Menerima Perjanjian Yang Menjejas Nilai Murni Kebangsaan

JUMAAT, 14 MAC 2014 08:24

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ra’ai Osman

BANGI, 12 Mar 2014 – Kerajaan dan mana-mana agensi negara harus berwaspada dan meneliti sebarang perjanjian mengenai Hak Asasi manusia antarabangsa sebelum menandatanganinya.

Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datin Noor Aziah Mohd Awal berkata apabila sudah menandatangani sesuatu protokol atau konvensyen sedemikian ia bermakna negara mesti patuh kepadanya sebagai peraturan antarabangsa.

Merasmikan Seminar Islam Dan Hak Asasi Manusia: Ancaman Tuntutan COMANGO Dan Masa Depan Malaysia, Prof Noor Aziah berkata terdapat fasal dan syarat dalam perjanjian antarabangsa demikian yang mungkin bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia atau nilai-nilai murni kebangsaan.

Seminar satu hari ini dianjurkan Jabatan Usuluddin Dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam dengan kerjasama kumpulan penyelidikan keagamaan dan pemikiran Islam

Beliau khuatir mungkin timbul pertelingkahan atau percanggahan dalam perjanjian demikian berbanding undang-undang negara selepas konvensyen atau protokol antarabangsa di metrai, khasnya di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Ini akan mengakibatkan Malaysia mengingkari syarat konvensyen dan mungkin menghadapi tindakan yang boleh menjejaskan imej negara dalam dunia.

Beliau menggesa UKM, Yayasan Dakwah Islamiah dan Muslim NGOs in the UPR Process (MuslimUPRO), sebagai peserta dan penyumbang seminar itu, supaya merangka suatu rumusan sebagai nasihat kepada kerajaan dalam hal menangani isu amalan seks luar tabii.

MuslimUPRO ialah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memantau dan berhujah menentang sebarang percubaan untuk merangka undang-undang yang memencilkan Islam.

Di antara percubaan segelintir NGO ialah supaya Malaysia memberi kebebasan untuk murtad serta dihapuskan kesalahan jenayah syariah seperti khalwat, zina dan sebagainya yang jelas mencabar Perlembagaan Negara dan agama Islam itu sendiri.

Selain itu, tuntutan supaya hak SOGI (Sexual Orientation and Gender Identity) iaitu hak untuk memilih orientasi seks dan identiti gender ini diberikan kepada orang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). Tuntutan hak kesamarataan agama dan menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu, juga bertentangan dengan nilai-nilai yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia terutama kedudukan Islam sebagai agama persekutuan.

Prof Noor Aziah yakin seminar itu mampu membongkar isu-isu Hak Asasi Manusia menurut pandangan Islam melalui penyelidikan dan penerbitan serta memperkasa wacana Islam dan Hak Asasi Manusia di peringkat nasional, serantau dan seterusnya antarabangsa.

Ini dapat dilakukan melalui pendedahan isu-isu mutakhir serta kupasan cabaran-cabaran dalam perbahasan Islam dan Hak Asasi Manusia.

COMANGO (Coalition of Malaysian NGOs in the UPR Process) atau Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan Malaysia ialah sebuah gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia yang mengemukakan laporan hak asasi manusia ke proses Semakan Berkala Sejagat (UPR) Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 24 Oktober 2013 di Geneva, Switzerland.