Teres Eko Niaga Boleh Jadi Ikon Perniagaan Pelajar

RABU, 12 MAC 2014 12:51

Berita dan Foto: Abd Raai bin Osman

BANGI, 9 Mac 2014 – Teres Eko Niaga yang diwujudkan dalam kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) boleh menjadi ikon perniagaan kepada pelajar dengan mengadakan pelbagai kegiatan perniagaan, kesenian dan aktiviti lain.

Ia membutikan keupayaan UKM melahirkan bakat, mewujudkan peluang keusahawanan dan menjamin kelestarian kehidupan pelajarnya.

Demikian kata Naib Canselor Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali semasa menyertai program gotong-royong membersih Teres Eko Niaga itu bersama pelajar hari ini.

Teres Eko Niaga itu telah dibina berhampiran dengan Fakulti Ekonomi Dan Perniagaan bermula akhir tahun 2007 hasil kerjasama UKM dengan Kementerian Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi ketika itu. Pusat Perkembangan Pelajar telah dipertanggung jawabkan untuk membina, mengurus dan memantau operasi perniagaan di situ.

Matlamat utamanya adalah untuk memberi pendedahan khususnya kepada pelajar UKM untuk menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan setelah tamat pengajian.

Prof Noor Azlan menggesa pelajar-pelajar memanfaatkannya dengan memberi tumpuan kepada aspek kebersihannya.

Turut menyertai gotong-royong itu adalah Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Prof Ir Dr Reza Atiq Abdullah OK Rahmat, Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Datin Noor Aziah Mohd Awal, Bendahari, Haji Mohd Abd Rashid Mohd Fadhil, Dekan-Dekan dan pegawai-pegawai kanan UKM.

Prof Noor Azlan berkata jika mutu kebersihan dan makanan mampu ditingkatkan ia akan menjadi sebutan bukan sahaja oleh warga UKM bahkan juga pelawat-pelawat yang datang ke kampusnya.

Teres Eko Niaga adalah bukti keupayaan UKM melahirkan bakat, mewujudkan peluang keusahawanan dan menjamin kelestarian kehidupan pelajar dan warganya.

”Ini prototaip UKM untuk negara dan dunia. Saya amat yakin semua ada ruang untuk menghidupkan Teres Eko Niaga. Walau pun Jabatan Perkhidmatan Pelajar menjadi pusat koordinasinya tetapi kita semua menjadi pelaksana.

“Kita semua jadi mata untuk teres ini. Kejayaan menghidupkannya dengan lestari adalah kejayaan kita. Kegagalannya juga adalah kegagalan kita,” tambah beliau.

Prof Noor Azlan juga minta pelajar dan warga UKM berkongsi idea untuk lebih memantabkannya. “Ajak fakulti, persatuan atau Pusat Tanggung Jawab anda untuk menyumbang,” ujarnya.

Naib Canselor berharap dengan wujudnya program latihan dan pengalaman perniagaan atau pun keusahawanan yang disediakan, nanti lebih ramai graduan UKM akan terlibat dalam keusahawanan dan dapat membantu meningkatkan ekonomi negara dalam usahanya menuju menjadi sebuah negara maju pada 2020.