Tumbuhan Asli Yang Penuh Khasiat Perlu Dikomersialkan

KHAMIS, 20 MAC 2014 09:01

By Shahfizal Musa
Pix Ikhwan Hashim

PUTRAJAYA, 18 Mac 2014 – Keajaiban tumbuhan asli dalam negara yang mengandungi pelbagai khasiat kesihatan perlu di patenkan dan produk yang diperbuat darinya dipasarkan.

Menteri Pertanian Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata negara patut memanfaatkan produk berasaskan alam semula jadi dengan mendapatkan paten dan dipasarkan ke seluruh dunia.

Berucap ketika merasmikan Persidangan Sebatian Alam Semulajadi di Hotel Palm Garden di sini hari ini, beliau berkata kiranya pelbagai penemuan itu tidak dikomersialkan kajian yang telah dilakukan tidak akan memberi erti.

Persidangan itu dianjurkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Persatuan Sebatian Semulajadi Malaysia (PSSM) dan dihadiri oleh peserta dari 10 buah negara dengan hampir 200 hasil kajian dibentangkan.

Beliau menekankan pentingnya segala penemuan itu diperolehi paten dan dikomersialkan. Ini perlu dibuat bagi memanfaatkan negara supaya kajian yang dilakukan akan memberi faedah kepada manusia.

Pelbagai tumbuhan dan herba di negara ini mempunyai manfaat kesihatan dan penyembuhan tetapi agak sukar untuk memahami impak penemuan yang dibuat sebab kertas yang dibentangkan tidak mudah difahami kerana dipenuhi terma-terma saintifik.

Bagaimana pun potensi tumbuhan alam, yang dibentangkan membuat kita tertanya kenapa ia masih belum dikomersialkan, kata Menteri itu.

Siapa sangka vitamin E yang di dapati dalam pokok kelapa sawit mampu mengubati osteoporosis, atau ‘habatus sauda’ (jintan hitam) mampu menghalang percambahan sel barah paru-paru? Ini hanyalah antara beberapa penemuan yang dibuat.

Tumbuhan alam mempunyai potensi yang tinggi kerana kebanyakanya mengandungi antioksida yang boleh mencegah pelbagai penyakit.

Dalam pembentangan di persidangan tersebut, pelbagai tumbuhan khasnya yang terdapat di Malaysia, mempunyai ciri anti kanser, anti diabetes sehinggalah ada yang boleh membantu seseorang berhenti merokok.

Suatu penemuan yang jauh daripada jangkaan adalah tumbuhan yang ramai menganggap sebagai semak mampu menghalang obesiti. Daun kadok (piper samertosum) yang tumbuh liar tanpa perlu dijaga termasuk diperkarangan sesetengah rumah dapat menghalang kegemukan dan membantu menguruskan badan.

Ia dapat menghalang penukaran tenaga kepada lemak. Walaupun mekanisme bagaimana ini berlaku masih belum di ketahui, ia mempunyai potensi dipasarkan secara meluas dan boleh menjana pendapatan tinggi.

Obesiti merupakan punca kepada penyakit gaya hidup. Sekiranya obesiti dapat dihalang penyakit seperti diabetes, hipertensi dan jantung dapat dikurangkan.

Lebih menakjubkan adalah, ia turut dapat mengurangkan kolestrol sama seperti ubat statin. Ini amat bermakna keranastatin dikatakan mempunyai kesan sampingan yang boleh memudaratkan khususnya ke atas buah pinggang.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Hubungan Antarabangsa) Prof Ir Dr Riza Atiq Abdullah O.K Rahmat, Dekan Fakulti Farmasi Profesor Dr Ibrahim Jantan, para saintis dan penyelidik menghadiri persidangan itu.